Bamboo One-Stop Centre bakal bantu perkembangan industri buluh Malaysia - Zuraida
Bernama
Februari 19, 2022 16:23 MYT
Februari 19, 2022 16:23 MYT
BANTING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bakal menubuhkan Bamboo One-Stop Centre yang akan berperanan sebagai pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia selain sebagai usaha untuk memperkasa industri hiliran buluh yang bernilai tinggi.
Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina di Tadom Hill Resort, Banting pada bulan depan dengan kos sekitar RM2 juta akan turut berfungsi sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh.
"Kita juga pilih Tadom Hill Resort ini untuk dijadikan sebagai model kerana tempat ini telah ada asasnya, jadi mudah untuk kita bangunkan dan akan dikembangkan di tempat lain termasuk seperti mana permintaan oleh pengusaha buluh di Pahang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tadom Hill Resort merupakan pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 18.2 hektar bertemakan taman buluh unik yang turut berjaya menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char).
Terdahulu Zuraida menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman penubuhan Bamboo One-Stop Centre antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu-Kayan Malaysia dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd.
Beliau berkata setakat ini Malaysia mengeksport produk buluh bernilai hanya RM8.2 juta dengan permintaan pasaran tempatan masih tidak dapat dipenuhi seluruhnya.
Menurutnya, sehingga kini seramai 577 pengusaha terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh serta kraftangan.
"Di peringkat kementerian kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 juta untuk menggalakkan lebih ramai Bumiputera memulakan perniagaan dalam industri buluh termasuk memberi bantuan RM10,000 bagi setiap hektar penanaman buluh dan pemberian percuma benih dan anak pokok buluh," katanya.
- BERNAMA