BAM akan manfaat penangguhan Piala Thomas/Uber 2020

Bernama
September 15, 2020 06:10 MYT
MOHAMAD NORZA: Penundaan ini memberi peluang kita merancang program lain sementara menunggu kejohanan seterusnya. - Gambar fail
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap meneruskan agenda yang telah dirancang, meskipun pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadual berlangsung bulan depan, ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.
Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan induk badminton negara itu tetap akan meneruskan saingan Piala Presiden, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Katanya, penangguhan kejohanan berprestij itu juga memberi peluang kepada BAM merancang beberapa program pemantapan, untuk memastikan prestasi barisan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kita akur dengan keputusan BWF tetapi kita terus dengan perancangan saingan Piala Presiden ini. Ia antara lain memastikan pemain negara kekal berdaya saing, dan sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal menghadapi kejohanan mendatang.
"Kepada pemain usah rasa berputus asa, sebab BAM akan menyediakan kejohanan bercorak dalaman seperti Piala Presiden, dan penundaan ini memberi peluang kita merancang program lain sementara menunggu kejohanan seterusnya," katanya kepada Bernama, pada Selasa.
Terdahulu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan, mengesahkan penangguhan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Okt ini di Aarhus, Denmark.
BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia yang merupakan juara 13 kali, selain Belanda dan England pada saingan Piala Thomas, sementara bagi saingan Piala Uber, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.
Taiwan, Australia, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia merupakan negara yang menarik diri daripada menyertai saingan Piala Thomas dan Uber 2020, sebelum BWF memutus untuk menangguhkan saingan itu.
-- BERNAMA
#badminton #BAM #batal #BWF #COVID-19 #Indonesia #Korea Selatan #Mohamad Norza Zakaria #Piala Presiden #Piala Thomas #Piala Uber #tangguh #tunda
;