Balu pesara tentera bersyukur impian miliki rumah tercapai
Bernama
Februari 18, 2024 20:51 MYT
Februari 18, 2024 20:51 MYT
KOTA BELUD: Seorang balu kepada pesara tentera terharu dan menzahirkan rasa syukur apabila impiannya untuk memiliki rumah baharu tercapai selepas lebih 25 tahun menumpang di rumah mentuanya di Kampung Dabata Tambunan.
Louisa Mamat, 50, menerima rumah baharu daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas permohonannya diterima pada Ogos tahun lepas.
"Saya sangat memerlukan rumah berkenaan apatah lagi selepas kematian suami Justin Jochim, 49, semasa masih bertugas pada 2011. Saya kini selesa tinggal bersama empat anak dan ini hadiah mendiang suami yang paling berharga," katanya.
Louisa ditemui Bernama selepas majlis penyerahan rasmi Projek Inisiatif Perumahan Veteran ATM di sini baru-baru ini yang disempurnakan Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Zambery Jefry Darus.
Menurut Louisa dia tidak melepaskan peluang untuk menyuarakan hasrat memiliki rumah dan masalah dihadapi menerusi satu majlis dialog anjuran JHEV di Kota Kinabalu pada awal tahun lepas.
"Selepas majlis itu, ada individu daripada pihak JHEV berjumpa dengan saya dan meminta saya mendaftar untuk memohan rumah berkenaan. Saya amat bersyukur kerana tidak lama selepas itu permohonan diluluskan. Terima kasih kepada kerajaan terutama JHEV kerana rumah ini sangat selesa untuk kami sekeluarga," katanya.
Seorang pesara tentera Thomas Kumong, 55, dari Kampung Kipaku Tambunan turut bersyukur kerana mendapat rumah setelah beberapa kali membuat permohonan.
"Sebelum ini saya bersama isteri dan empat anak hanya tinggal di sebuah pondok. Kini kami amat selesa tinggal di rumah baharu.
"Saya memohon untuk mendapatkan rumah pada Februari tahun lepas. Rumah itu mula dibina pada Mei dan apabila siap pada Ogos, kami sekeluarga terus tinggal di rumah baharu," katanya.
Sementara itu, Zambery Jefry berkata sebanyak 40 individu menerima rumah berkenaan bagi tahun lepas termasuk lima di Sabah.
"Untuk tahun ini kita sasarkan 50 rumah akan dibina di seluruh Malaysia dan lapan di Sabah. Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM5.7 juta untuk melaksanakan projek berkenaan tahun ini," katanya.
Beliau berkata projek berkenaan dilaksanakan dengan peruntukan subsidi di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dikawal selia oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) berjumlah RM20,000 dan bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM65,000 di Semenanjung dan RM75,000 di Sabah dan Sarawak.
"Untuk tahun ini kita telah melakukan beberapa perubahan antaranya dari segi keluasan rumah dan kos pembinaan. Menerusi penambahbaikan ini akan lebih banyak rumah dapat dibina serta dapat memberi peluang kepada lebih banyak pesara tentera untuk menerima.
"Oleh itu, saya minta agar sesiapa yang layak supaya memohon dan mendaftar dalam program ini kerana kita di JHEV sentiasa menjaga kebajikan veteran ATM," katanya.
-- BERNAMA