Balu penoreh, pengusaha tanaman getah terima faedah Perkeso sepanjang hayat

Aida Aziz
Julai 19, 2024 10:00 MYT
Roslan ketika menyerahkan sumbangan kepada balu Jamaluddin, Atiah di Kampung Bukit Pekan. - Foto Perkeso Perak
KAMPAR: Balu penoreh dan pengusaha tanaman getah yang maut dalam kemalangan jalan raya tahun lalu, layak menerima faedah sepanjang hayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Perak, Roslan Pilus berkata, Jamaluddin Ohoh, 64, merupakan pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) sejak 30 Disember 2022 hingga 29 Disember 2023.
"Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 13 September tahun lalu dan punca kematian
disebabkan penyakit arteri koronari selepas beliau terlibat dalam kemalangan di Jalan Tanjung Tualang.
"Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bukit Pekan, Kampar setelah selesai urusan pekerjaan sekitar jam 4 petang.
"Waris keluarga arwah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara sekali bayar sebanyak RM2,000 manakala hanya balu arwah iaitu Atiah Mat Esa, 68, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 setiap bulan untuk sepanjang hayat.
"Ini kerana tiga anaknya telah melebihi usia 21 tahun hasil daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau turut menyampaikan penyerahan faedah dan kotak prihatin berupa barangan keperluan harian kepada waris keluarga di Kampung Bukit Pekan pada Khamis.
Dalam pada itu, Roslan memberitahu hasil rekod caruman yang dibuat oleh pencarum membolehkan waris keluarga menerima faedah Perkeso.
Katanya, ia secara tidak langsung membantu kelangsungan kehidupan keluarga selepas pemergiannya.
"Situasi ini menunjukkan pentingnya setiap individu yang bekerja untuk mencarum dengan Perkeso.
"Bukan sahaja persediaan dalam melindungi diri sendiri, tetapi juga untuk memastikan kebajikan tanggungan mereka sekiranya terjadi musibah," katanya lagi.
#faedah sepanjang hayat #perkeso #SKSPS #Jamaluddin Ohoh
;