Baling batu untuk berseronok, lima remaja bawah umur ditahan
Sinar Harian
Jun 15, 2023 11:00 MYT
Jun 15, 2023 11:00 MYT
SEREMBAN: Lima remaja lelaki bawah umur yang dipercayai menjadi dalang perbuatan membaling batu dan kayu ke arah kenderaan di Kilometer 253.3 Lebuhraya Senawang-Seremban, Isnin lalu berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka yang berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan antara jam 5 hingga 7 petang pada Rabu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mereka melakukan perbuatan itu sekadar untuk berseronok.
"Tiga telah ditahan berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad di Bandar Seremban Selatan manakala dua lagi di Taman Seremban Jaya.
"Permohonan reman untuk siasatan lanjut akan dibuat terhadap mereka pada hari ini (Khamis)," katanya.
Ujarnya, dengan tangkapan itu, diharap tiada lagi perbuatan tidak bertanggungjawab sebegitu di kawasan berkenaan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan empat individu yang terlibat dalam perbuatan berkenaan.
Ia susulan selepas laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 32 tahun yang menyatakan cermin hadapan lori miliknya dibaling objek semasa melalui lebuh raya tersebut.
Mangsa memberitahu kejadian itu telah mengakibatkannya kerugian lebih RM1,000. - Sinar Harian