Baling batu dari jejantas: Penduduk minta polis tingkatkan rondaan

Astro Awani
September 25, 2016 20:19 MYT
Menurut penduduk, kejadian ini dipercayai dilakukan oleh sekumpulan mat rempit yang melepak di atas jejantas itu sehingga tengah malam.
Penduduk meminta pihak polis meningkatkan rondaan terutama sekali pada hujung minggu, berikutan kejadian membaling batu dari jejantas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Hutan Kampung di sini.
Dalam kejadian pada malam Khamis lalu, sebanyak tiga buah kenderaan telah mengalami kerosakan akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Menurut penduduk, kejadian ini dipercayai dilakukan oleh sekumpulan mat rempit yang melepak di atas jejantas itu sehingga tengah malam.
BACA: Polis buru suspek baling batu dari jejantas PLUS hingga rosakkan tiga kereta
Mereka juga dipercayai bukan penduduk kampung tersebut.
Dakwa mereka, kejadian membaling batu di atas lebuhraya juga bukan perkara baru, kerana dua bulan lalu kejadian sama terjadi hingga menyebabkan kenderaan terbabas.
Selain berpeleseran, kumpulan ini juga sering membuat bising dan berlumba hingga menggangu ketenteraman penduduk terutama yang mempunyai anak kecil.
Penduduk berkata, pihak berkuasa ada membuat rondaan, namun kumpulan ini akan melarikan diri dan kembali semula sesudah pihak berkuasa beredar.
Mereka juga bimbang kehadiran kumpulan ini akan mengundang aktiviti tidak sihat seperti dadah dan kes ragut kerana ia terletak di kawasan yang sunyi.
Menurut seorang penduduk, Wan Azlan Wan Nik, kumpulan tersebut selalu berkumpul di jejantas tersebut dan penduduk kampung sering kedengaran bunyi cermin kereta dipecahkan.
“Ada penduduk kampung yang memberitahu mereka terdengar bunyi kereta dipecahkan semasa mereka sedang minum di kedai kopi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Azzudin Ibrahim pula berkata, ramai yang mengadu kejadian membaling batu ini telah banyak kali berlaku.
“Semasa raya haji hari tu, selepas ibadah korabn diadakan, ada penduduk ternampak seorang pemuda sedang membaling batu dari atas jejantas,” kata Azzudin.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati, sudah ada kerja-kerja pemasangan besi pagar penghadang oleh beberapa pekerja kontrak yang dilantik PLUS pagi tadi.
Ia melibatkan pemasangan pagar sepanjang 90 meter dengan ketinggian 2.1 meter di kedua-dua belah tembok jejantas.
Menurut kontraktor, Abdul Ghani Hassan, pemasangan penghadang ini mengambil masa dua puluh hari untuk siap bagi memastikan kejadian baling batu di atas lebuhraya tidak lagi berulang.
#Alor Setar #baling batu #jejantas #lebuhraya #mat rempit #PLUS
;