Balas slogan 'Kerajaan Gagal' dengan 'Pembangkang Prihatin' - Majlis Profesor Negara
Israr Khalid
Julai 26, 2021 07:02 MYT
Julai 26, 2021 07:02 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika kata kunci ‘Kerajaan Gagal’ berkumandang di segenap pelusuk negara, sepatutnya pembangkang hadir dengan balasan yang lebih bernas.
Ini bukan masanya untuk mencurah minyak kepada api dan menunjukkan siapa lebih hebat, tetapi tegas Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, kekhilafan kerajaan itu tidak sepatutnya dikutuk tetapi diperbetulkan dengan cara yang lebih murni.
“Ada slogan ‘Kerajaan Gagal’, kenapa pembangkang tidak kata ‘Pembangkang Prihatin’? Campur kedua-duanya kan boleh jadi baik.”
Pada masa sama, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pengarah KITA-UKM itu juga melihat dari satu segi slogan ‘Kerajaan Gagal’ itu tidak bersifat mengkritik tetapi lebih kepada sebuah kempen membenci kerajaan yang baginya sesuatu yang tidak sihat.
“Rakyat diracuni pemikiran sebegini, memang betul ada banyak salah dan silap tetapi tidak perlulah membenci mereka,” katanya.
Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jelas beliau, sebenarnya adalah sebuah platform penyatuan yang memanggil semua pihak bersama membangun dan menjayakannya.
Menyedari kelemahan sistem perwakilan dalam politik Malaysia, katanya, inilah medannya untuk jurang antara wakil rakyat dan masyarakat dirapatkan supaya keperluan rakyat dapat dilihat dan dijuangkan di Dewan Rakyat.
“Yang sebenarnya kita terlalu mengharapkan demokrasi perwakilan. Kita pilih wakil rakyat, mereka masuk ke Parlimen, tetapi pernahkan apa yang nak dibincangkan di Dewan Rakyat itu dirunding dengan rakyat?
“Jadi saya anggap kedudukan wakil rakyat dan juga diskusi antara mereka ini terpisah daripada realiti rakyat. Ini kenyataan yang tidak dapat kita elak.”
Maka kerana itu, kata Shamsul Amri, timbullah pelan-pelan pembangunan yang didraf setiap lima tahun sejak zaman 1950-an dahulu, yang dilihatnya sebagai satu platform integrasi untuk mengumpul, merangka dan memanifestasikan keperluan serta kehendak rakyat.
Namun, kekhuatirannya tentang PPN adalah, ia akan menjadi satu pelan yang tidak kesampaian kerana keegoan masing-masing dalam berpolitik yang tak berkesudahan.
“Alasannya, parti-parti pembangkang ada agendanya sendiri, maka dia lupa nak cari titik pertemuan antara agenda-agenda itu,” ujarnya.
#Agenda Awani
#Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin
#kempen membenci kerajaan
#kritik
#pembangkang
#Parlimen
#Muhyiddin Yassin
#Dewan Rakyat
#kekhilafan
#rakyat Malaysia
#kerajaan