Balak hanyut punca utama jambatan roboh - Mustapa
Astro Awani
Januari 2, 2016 19:57 MYT
Januari 2, 2016 19:57 MYT
Balak hanyut menjadi punca beberapa jambatan di Kelantan runtuh semasa banjir besar atau 'bah kuning' yang berlaku Disember 2014 dan semasa air Sungai Kelantan meningkat baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas membuat tinjauan di jambatan sementara di Kampung Pemberian, di Kuala Krai hari ini.
Jambatan yang runtuh termasuk yang menghubungkan jambatan kereta api di Kemubu, Dabong.
Beberapa jambatan lain yang turut mengalami nasib sama, jambatan Setelu di Gua Musang dan Pulau Beluru di Tumpat dengan terbaru jambatan yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Manjor, di Kuala Krai.
Kesemuanya runtuh kerana balak hanyut, lalu melanggar struktur jambatan.
"Kami mahu Kerajaan Negeri mengambil tindakan supaya balak tidak dibuang ke dalam sungai begitu sahaja, ini akan merosakkan jambatan yang dibina rendah sekaligus menyusahkan penduduk serta merugikan kerajaan," kata Mustapa.
Beliau sebelum itu, membuat tinjauan pembinaan jambatan sementara menggunakan fiber terapung yang dilakukan oleh Rejimen Kejuruteraan Askar Melayu Diraja.
Jambatan itu dibina bagi memudahkan penduduk di Kampung Pemberian melakukan aktiviti harian termasuk menghantar anak ke sekolah bermula Ahad.
ATM menempatkan anggotanya untuk memudahkan urusan penduduk Kampung Pemberian dan Manjor termasuk menyediakan bot sejak jambatan itu runtuh empat hari lalu.
Jambatan terapung itu akan dapat digunakan selepas kerja-kerja membuang kayu dan balak hanyut dilakukan.