Balai polis trafik IPD SPU terbakar, tiada kemalangan jiwa

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 10, 2021 10:21 MYT
Kebakaran melibatkan dua buah bangunan satu tingkat yang berkembar, iaitu bilik anggota dan bilik stor. Foto JBPM/PDRM
KEPALA BATAS: Bangunan Balai Polis Trafik Kepala Batas di Jalan Kedah, di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran awal pagi ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian jam 4.30 pagi itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
Sebaik tiba, anggota mendapati kebakaran melibatkan dua buah bangunan satu tingkat yang berkembar, iaitu bilik anggota dan bilik stor.
"Bangunan pertama berkeluasan kira-kira 56 meter persegi yang dijadikan bilik bersedia anggota, terbakar 60 peratus.
"Manakala, bangunan kedua berkeluasan sama, yang dijadikan stor, terbakar 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.56 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya.
Operasi tersebut turut dibantu BBP Bertam dan Kuala Muda serta pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian tersebut.
Hasil siasatan awal pihaknya dimaklumkan, kejadian mungkin disebabkan oleh litar pintas.
Menurutnya, kejadian disedari seorang anggotanya yang berada di dalam bangunan berkenaan apabila melihat api, sebelum melaporkan kejadian kepada pihak balai dan bomba.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kerana ia melibatkan bilik stor dan bilik standby anggota.
"Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan lanjut. Jumlah kerugian serta anggaran kerosakan masih belum dipastikan," katanya ketika dihubungi.
#Seberang Perai #kemalangan #bomba #JBPM #Balai Bomba dan Penyelamat #Kedah #Balai Polis Trafik #Kepala Batas #JBPM Pulau Pinang #bangunan satu tingkat #stor #litar pintas
;