Balai polis terpencil akan dipasang CCTV, pintu pagar ditutup awal

Umavathi Ramayah
Mei 24, 2024 17:31 MYT
Razarudin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan PDRM bagi menentukan kesiapsiagaan anggota dan penambahbaikan SOP. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tahap keselamatan balai-balai terpencil akan dipertingkatkan, antaranya dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu pagar ditutup lebih awal, susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengakibatkan dua anggota terkorban.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan kesiapsiagaan anggota dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"SOP bagi balai-balai ini sememangnya sudah ada dan ditetapkan, kadang kita faham bilangan keanggotaan terhad, misalnya satu-satu masa seorang anggota ditugaskan sebagai prawler (rondaan dalam balai) dan seorang lagi di bahagian inquiry (terima laporan).
"Bagi balai-balai terpencil, kita arahkan balai ini tutup pagar pada pukul 9 malam. Pemasangan CCTV juga amat penting, sekali gus sebagai salah satu elemen keselamatan selain pemasangan lampu limpah bagi parameter kawasan-kawasan tertentu dalam balai.
"Ini adalah ancaman kepada nyawa anggota kita. Kita mengambil berat mengenai perkara ini, selalunya kita sebut mengenai kebajikan, tapi untuk PDRM, sekarang kita kena sebut kebajikan dan keselamatan," katanya pada sidang media di Pejabat Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, di sini, pada Jumaat.
Pada 17 Mei lalu, seorang lelaki bersenjatakan parang berusia 21 tahun menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor dalam kejadian 2.45 pagi itu.
Tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun, serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
#Balai Polis Ulu Tiram #Ketua Polis Negara #Polis Diraja Malaysia #CCTV
;