Balai Polis Ampang diaktifkan semula hari ini, selesai sanitasi
Umavathi Ramayah
Februari 24, 2021 17:36 MYT
Februari 24, 2021 17:36 MYT
KUALA LUMPUR : Urusan orang awam di Balai Polis Ampang di sini yang digantung sementara sejak Selasa lalu selepas 11 anggota balai berkenaan disahkan positif COVID-19, diaktifkan semula hari ini.
Pembukaan semula balai polis itu dilakukan lebih awal daripada yang diumumkan sebelum ini iaitu, 1 Mac ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, orang ramai boleh berurusan termasuk membuat laporan polis, permohonan rentas daerah atau negeri serta urusan-urusan lain bermula pukul 4 petang hari ini.
"Tindakan ini diambil selepas proses sanitasi secara menyeluruh dibuat ke atas Balai Polis Ampang dan juga semua bahagian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.
"Kerja-kerja sanitasi telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Mohamad Farouk menjelaskan, pengoperasian semula Balai Polis Ampang itu dapat membetulkan kembali kekeliruan masyarakat setempat yang beranggapan balai tersebut ditutup akibat jangkitan COVID-19.
Ekoran itu, beliau meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berurusan.
#sanitasi
#balai polis ampang
#COVID-19
#anggota disahkan positif
#Ketua Polis Negara
#Polis Diraja Malaysia
#SOP