Balai bomba pertama di Pulau Redang bakal ditubuhkan

Astro Awani
Disember 13, 2017 07:44 MYT
Inisiatif itu juga bagi memberi keyakinan kepada para pelancong untuk berkunjung ke pulau itu. - Gambar wikitravel.org
Pulau peranginan terkenal, Pulau Redang di Terengganu, bakal mempunyai balai bomba pertamanya tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azlimin Mat Noor berkata, sebuah balai bomba kategori D, iaitu balai kecil, bakal ditempatkan sebagai tindakan awal sekiranya berlaku kes kecemasan.
Proses mengenal pasti lokasi balai berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Azlimin berkata balai yang menelan belanja sekitar RM3-5 juta itu dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun.
"Kita tidak akan ada ramai anggota di sana tetapi kita akan ada pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang bertugas yang mana kita bayar elaun berdasarkan kepada tugas yang dilaksanakan," katanya.
Azlimin berkata inisiatif itu juga bagi memberi keyakinan kepada para pelancong untuk berkunjung ke pulau itu.
Jelasnya, ketika ini hanya terdapat pasukan bomba sukarela yang ditempatkan di kawasan kampung dan resort.
Sementara itu, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan pasukan bomba sukarela di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN).
"Kita mencadangkan supaya setiap DUN sekurang-kurangnya ada satu pasukan bomba sukarela. Dengan adanya pasukan bomba sukarela ini ia boleh mempercepatkan lagi servis Jabatan Bomba kepada masyarakat," katanya.
Dengan penubuhan pasukan itu juga katanya dapat memberikan tindakan pantas jika berlaku kes kecemasan di kawasan mereka.
#balai bomba #bomba #kebakaran #kecemasan #Kuala Terengganu #Pulau Redang #terengganu
;