Balai bomba Kota Bharu hadapi masalah ketiadaan air

Muhafandi Muhamad
Oktober 5, 2016 11:07 MYT
Timbalan Penguasa Bomba, Zaini Bidin (kanan) berkata situasi bertambah kritikal sejak beberapa hari lalu bahkan air dari tangki simpanan jentera turut digunakan sebagai kegunaan domestik di balai bomba. - Foto Astro AWANI
Hampir sebulan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu terputus bekalan air sehingga memaksa anggotanya mencari sumber air luar dari kawasan balai bomba bagi persediaan untuk sebarang kes kecemasan.
Ia berikutan masalah tekanan bekalan air rendah yang disalurkan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), menyebabkan pihak bomba berdepan masalah menyimpan air di dalam tangki simpanannya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba, Zaini Bidin, situasi bertambah kritikal sejak beberapa hari lalu, bahkan air dari tangki simpanan jentera turut digunakan sebagai kegunaan domestik di balai bomba.
“Kritikal sejak seminggu dua ini. Sekarang hampir tiada langsung (air). Kami sendiri terpaksa cari dari sumber terbuka. Kalau hendak ambil dari sana (AKSB) terjejas pula penggunaan domestik. Maka kita akan ambil air sungai, tasik, longkang dan sebagainya, bergantung keperluan. Kita guna sumber terbuka, kita elak guna air pili bomba,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurutnya lagi, pihaknya tidak menghadapi masalah untuk mencari bekalan air untuk operasi kebakaran kerana sumber air boleh dipam dari sumber lain.
Namun jika keadaan berterusan, pihaknya akan berdepan masalah untuk meyimpan air bagi kegunaan harian di balai.
Untuk buat sementara waktu katanya pihak bomba tidak berupaya menyalurkan bekalan air sekiranya diminta penduduk Kota Bharu termasuk untuk kegunaan masjid, sekolah dan sebagainya.
Sementara itu lapor Bernama, AKSB dalam kenyataan berkata siasatan sedang dibuat bagi mengenal pasti punca berlakunya masalah tersebut.
Katanya, AKSB mengesyaki ada paip utama yang pecah di laluan tersebut dan juga terdapat perubahan agihan bekalan air di kawasan berkenaan.
Buat sementara, bekalan air akan disalurkan menggunakan lori tangki hingga masalah itu diselesaikan.
#Balai Bomba Kota Bharu #ketiadaan air #Zaini Bidin
;