Balai bomba hibrid akan dibina di Pulau Tioman
Bernama
Ogos 26, 2024 06:30 MYT
Ogos 26, 2024 06:30 MYT
KUANTAN: Balai bomba dan penyelamat (BPP) hibrid yang membolehkan anggotanya beroperasi di darat dan laut akan dibina berdekatan Taman Laut Pulau Tioman sekali gus menjadikannya balai bomba pertama di negara ini menggunakan konsep berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata konsep tersebut diterima pakai kerana kekangan dihadapi bomba semasa berhadapan dengan kes kecemasan di kawasan yang tidak mempunyai akses laluan darat di pulau itu.
"Contohnya di Kampung Genting, Kampung Sanglang dan Kampung Paya di Pulau Tioman semuanya menggunakan jalan laut manakala jentera bomba hanya boleh digunakan di Kampung Tekek.
"Justeru kita memerlukan bot istimewa yang diparkir berdekatan BBP Pulau Tioman dan apabila ada panggilan kecemasan anggota boleh terus menuju ke lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) JBPM Pahang Tahun 2024 di sini pada Isnin.
Wan Mohamad Zaidi berkata pembinaan balai bomba bernilai RM8 juta itu dijangka menempatkan kira-kira 30 staf dengan tiga syif penugasan.
"Selain BBP Pulau Tioman, bomba turut mendapat peruntukan bagi membina BBP Benta di Lipis bernilai RM4 juta dan kedua-duanya akan mula dibina sebaik sahaja selesai isu perolehan tanah dengan pihak kerajaan negeri.
"Sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan kerajaan untuk menaik taraf BBP Bentong dan kita juga merancang untuk membina sebuah lagi balai bomba di Penor sebagaimana titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda menziarahi mangsa kebakaran di Kempadang baru-baru ini," katanya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya sebuah balai bomba diwujudkan di kawasan Tanjung Lumpur bagi mempercepatkan bantuan sampai sekiranya berlaku kecemasan di kawasan itu dan sekitarnya berbanding menggunakan khidmat bomba daripada BBP Kuantan dan BBP Taman Tas.
-- BERNAMA