Bakteria, E.coli tinggi pada kerang terdampar di Pantai Sura

Sinar Harian
Januari 17, 2025 11:45 MYT
Kerang yang terdampar di Pantai Sura berikutan fenomena ombak besar dikutip oleh penduduk setempat. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Hasil analisis awal terhadap kerang terdampar di Pantai Sura di Dungun mendapati tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dalam sampel air.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, bagaimanapun pihaknya menasihatkan orang ramai supaya memasak kerang itu dengan sempurna terlebih dahulu sebelum dimakan berikutan berdasarkan analisis makmal sebelum ini menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E.coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian ditetapkan.
"Berdasarkan kajian pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 2014, 2016, 2019 dan 2021, analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan.
"Kerang dalam kategori itu diklasifikasikan sebagai Kelas B, yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan.
"Selain itu, kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous) dalam persekitaran air laut, turut dikesan dalam sampel terdahulu," katanya dalam kenyataan di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video menunjukkan kelihatan ramai pengunjung mengumpul kerang-kerang yang terdampar di atas pasir.
Pantai tersebut meriah dipenuhi orang ramai terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak dengan menggunakan pelbagai cara seperti pukat ikan dan baldi untuk mengumpul hasil laut yang melimpah.
Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, pihaknya telah mengambil sampel air dan kerang pada Rabu lalu untuk memastikan keselamatan pengguna.
"Analisis bakteria pada kerang sedang dijalankan oleh Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan.
"Keputusan penuh akan diumumkan dalam masa tiga hari lagi," jelas beliau.
Sementara itu, Ruzaidi menyatakan fenomena kerang dihanyutkan ke darat akibat ombak kuat ini telah beberapa kali dilaporkan termasuk pada tahun-tahun sebelum ini.
Menurutnya, kajian menyeluruh oleh Jabatan Perikanan membuktikan keperluan pematuhan kepada amalan keselamatan makanan.khususnya memastikan semua kerang dimasak dengan sempurna sebelum dimakan.
Justeru, Ruzaidi berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan makanan. - Sinar Harian
#kerang terdampar #monsun timur laut #E Coli #terengganu
;