Bakteria atypical klebsiella pneumonia bukan ancaman besar - Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor

Israr Khalid
Februari 10, 2017 14:59 MYT
DR ZAILAN: 16 orang daripada 40 orang ahli keluarga terlibat adalah dari Selangor dan lima daripadanya didapati menghidap gejala jangkitan menyerupai indeks asal.
Bakteria atypical klebsiella pneumonia, yang dikatakan punca kematian seorang lelaki berusia 59 tahun di Kelantan semalam disifatkan bukan sesuatu yang menjadi kebimbangan besar, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Zailan Adnan.
Jelasnya, kes susulan yang berlaku di Selangor adalah dari kontak yang berada dalam kelompok sama dengan indeks asal atau kes pertama, iaitu dari kalangan ahli keluarga yang mengadakan perhimpunan keluarga di Kajang.
Beliau memaklumkan, 16 orang daripada 40 orang ahli keluarga terlibat adalah dari Selangor dan lima daripadanya didapati menghidap gejala jangkitan menyerupai indeks asal.
“Setakat ini daripada lima yang kita kesan, satu daripadanya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) untuk pemerhatian lanjut kerana kanak-kanak berusia 14 tahun ini didapati mempunyai tanda-tanda demam, batuk-batuk dan sakit kepala. Dia diwadkan semalam dan keadaan semasanya stabil.
“Sementara empat orang lagi diisolasi di rumah dan dipantau sehingga semua gejala selesai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dengan mengambil sampel daripada subjek yang telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.
Ujian kultur
“Sampel itu baru sahaja dihantar sebab ujian kultur untuk kes yang pertama di Kelantan itu tidak menunjukkan sebarang pertumbuhan organisma, mungkin disebabkan dia telahpun diberi antibiotik sebelumnya. Ini perlu disiasat lebih lanjut dan akan mengambil masa beberapa hari," ujar Dr Zailan.
Menurutnya, bakteria klebsiella merupakan adalah sejenis community-acquired penumonia, bererti jangkitan boleh tersebar dalam keadaan komuniti yang duduk bersesak-sesak.
Ia juga agak biasa 10 peratus kebarangkalian jangkitan didapati dari hospital, namun katanya dalam kes ini ia berlaku daripada keadaan sesak 40 orang ahli dalam satu homestay rumah teres di Kajang, sepertimana difahamkannya.
“Bukanlah sesuatu yang boleh menimbulkan kebimbangan besar jika masalahnya adalah community-aquiered pneumonia ini, malahan kalau melihat daripada pengawasan data-data kita ke atas ILI (influenza-like illness atau penyakit seakan influenza) yang memang kita pantau di semua klinik-klinik kita, tidak melihatkan sebarang peningkatan dlm kes-kes ILI ini sepanjang empat minggu sebelumnya.
“Kalau klebsiella ini biasanya tempoh inkubasinya (dari mula mendapat jangkitan sehingga menunjukkan tanda-tanda), adalah kira-seminggu.
"Kalau kes mula dijangkiti bakteria itu minggu lepas, mengira waktu mereka berhimpun dalam tempat yang sama itu sudah masuk dua minggu. Maksudnya kalau itu adalah bakteria klebsiella sepatutnya ia tidak lagi menunjukkan kontak-kontak yang baru,” jelasnya.
Kes Kota Bharu
Semalam, seorang lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia di Kota Bharu selepas pulang daripada bercuti bersama keluarga besar di Kajang dipercayai dijangkiti bakteria tersebut.
Seorang lagi pesakit berusia 29 tahun daripada kontek sama berada dalam keadaan kritikal dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tanah Merah dan sedang diawasi oleh Jabatan Kesihatan Kelantan.
Mengulas berkenaan itu, Dr Zailan memberitahu kematian lelaki tersebut dipercayai didorong penyakit lain yang dihadapinya, keadaan yang dipanggil comorbid condition.
“Jadi, jika ia disebabkan oleh bakteria klebsiella ini, jangkitan kepada paru-paru bagi seseorang yang mempunyai masalah penyakit lain sebagaimana yang dihadapi kes indeks tersebut, maka jangkitan ini boleh menyebabkan kematian.
“Kes kedua yang sedang diperhati rapi di Hospital Tanah Merah itu juga pesakitnya mempunyai berat badan yang tinggi. Jadi obesiti juga boleh menjadikan seseorang itu mengalami gejala yang lebih teruk daripada orang biasa,” jelasnya.
Bagaimanapun lanjut Dr Zailan, tidak semestinya mereka yang dijangkiti bakteria tersebut berdepan kematian kerana ia berada dalam spektrum yang boleh diubati.
#atypical klebsiella #Bakteria #jabatan kesihatan selangor #pneumonia #zailan adnan
;