Baki sagu hati jemaah umrah akan diterima segera - Idris

Amirrul Rabbani
Februari 27, 2022 10:38 MYT
Kerajaan akan memastikan baki hampir 1,000 jemaah yang belum menerima pembayaran wang sagu hati ekoran penangguhan sementara ibadah itu mendapat wang mereka pada kadar segera, kata Datuk Idris Ahmad. - Gambar BERNAMA
TAIPING: Kerajaan akan memastikan baki hampir 1,000 jemaah yang belum menerima pembayaran wang sagu hati ekoran penangguhan sementara ibadah itu mendapat wang mereka pada kadar segera.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya akan membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyelaras dengan agensi pelancongan terlibat bagi melancarkan urusan tersebut.
Beliau berkata, MOTAC akan menghubungi agensi-agensi pelancongan untuk kenal pasti jemah-jemaah yang terkesan.
“Ada setengah jemaah yang belum dibayar duit, bukan mereka tidak layak… yang kita nak libatkan kalau mereka ada dokumen yang syarikat pelancongan sudah bayar di sana (Arab Saudi) dan tidak ada pulangan, (jadi) kita akan bagi (pampasan),” kata Idris.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang 2022 di Pusat Khidmat Pas Parlimen Bukit Gantang di sini, pada Ahad.
Dalam masa sama, Idris memberitahu, wang sagu hati tersebut akan dibayar menerusi akaun simpanan Tabung Haji mereka seperti 7,000 jemaah umrah lain yang telah menerimanya.
Bagamanapun, jelas beliau, pembayaran tersebut dilanjutkan sehingga bulan depan ekoran hampir 1,000 jemaah terbabit yang masih gagal membuka akaun simpanan mereka.
Sebelum ini, Idris mengumumkan pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah berkuat kuasa 18 Februari.
#sagu hati #jemaah umrah #MOTAC #Idris Ahmad