Baki pelarian Rohingya mungkin sudah mendarat di Thailand - TLDM
Hilal Azmi
Mei 28, 2015 18:03 MYT
Mei 28, 2015 18:03 MYT
Pegawai Memerintah KD Kasturi, Kepten Sharum Shaim tidak menolak kemungkinan baki pelarian Rohingya yang masih terkandas sudah mendarat di pulau berdekatan Thailand.
"Saya tidak menolak kemungkinan ini boleh berlaku berdasarkan rekod lampau yang memaparkan modus operandi sama pernah digunakan untuk membolos sempadan negara melalui jalan darat pada 2012 lalu," katanya ketika ditemui di Dek Peninjau KD Kasturi.
Tambahnya, terdapat beberapa kemungkinan lain seperti tekong bot pelarian mengubah strategi pergerakan mereka dengan membuat perjalanan pada waktu malam.
"Bagi saya mereka (pelarian bot Rohingya) mungkin juga akan serah diri, tetapi mereka perlu fikir akan kesan perbuatan mereka malah mungkin ini adalah pilihan terakhir mereka sekiranya keadaan amat terdesak.
"Mungkin juga mereka akan ambil kesempatan dalam cuaca hujan untuk cuba membolos sempadan negara," tambah beliau.
Selain itu, Shahrum turut membayangkan bot yang membawa pelarian terbabit mungkin dilengkapi dengan peranti navigasi yang berteknologi tinggi. Ini boleh dilihat melalui pergerakan bot yang dipantau sepanjang operasi berlangsung.
Kapal KD Kasturi antara yang terlibat dalam Operasi Sekat dengan kekuatan 107 anggota dan 17 pegawai.