Baki menteri Kabinet Sabah diumum Hajiji minggu depan - Jeffrey

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 2, 2020 14:09 MYT
Dr Jeffrey sidang media pertamanya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah di Kota Kinabalu pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Beberapa baki portfolio menteri Kabinet Sabah dijangka diumumkan minggu depan.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata pengumuman tersebut bagaimanapun akan dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor secara berperingkat.
"Baki beberapa menteri Kabinet akan dilantik secepat mungkin dan sebahagiannya akan diumumkan minggu depan.
"Senarai calon telah diberikan kepada Ketua Menteri dan kita serahkan kepada beliau untuk mengumumkannya," katanya dalam sidang media pertama sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah di Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Sementara itu Jeffrey menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan bahawa pentadbiran pimpinan Hajiji tidak menyebelahi kaum Cina di negeri itu.
"Desas desus ini sengaja dibuat dan disebarkan untuk menimbulkan kebencian dan rasa tidak harmoni kalangan rakyat.
"Kita berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk sesuatu kaum sahaja, kita berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat dan tiada yang akan ditinggalkan," katanya lagi.
#Ketua Menteri #Media #Kota Kinabalu #kabinet #Cina #Kabinet Sabah #Hajiji Mohd Noor #Ketua Menteri Sabah #timbalan ketua menteri II #Dr Jeffrey Kitingan
;