Baki empat langkah Pakej PRIHATIN bermula Mei ini
Najib Aroff
April 14, 2020 14:49 MYT
April 14, 2020 14:49 MYT
Kerajaan akan mula melaksanakan baki empat lagi langkah di bawah Pakej PRIHATIN pada Mei 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Setakat ini kerajaan sudah melaksanakan enam dari 10 langkah yang dirancang di bawah Pakej PRIHATIN.
Ia termasuk moratorium bayaran pinjaman institusi, kemudahan i-Lestari iaitu pengeluaran Akaun 2 KWSP, subsidi upah yang dilaksanakan oleh PERKESO, pengurangan kadar minimum caruman pekerja KWSP, dan Bantuan PRIHATIN Nasional (RM10 bilion).
“Perancangan empat lagi langkah utama yang bernilai RM66 bilion atau 25 peratus daripada keseluruhan nilai Pakej PRIHATIN akan mula dilaksanakan menjelang 1 Mei 2020.
“Ia adalah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin (RM50 bilion), Program Khidmat Rundingan Majikan oleh KWSP bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan (RM10 bilion), Projek Kerajaan berskala kecil untuk memanfaatkan kontraktor kecil (RM4 bilion) dan Geran PRIHATIN Khas untuk PKS mikro (RM2.1 bilion),” katanya dalam ucapan khas hari ini.
Tengku Zafrul berkata pihak Kementerian Kewangan akan mengadakan taklimat setiap minggu, untuk berkongsi tahap pencapaian pelaksanaan Pakej PRIHATIN.
#EPF
#Kementerian Kewangan
#KWSP
#Menteri Kewangan
#PKS
#PRIHATIN
#subsidi
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz