Baki 40 peratus janji manifesto PH akan ditunai pada 2020 - Guan Eng
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 14, 2019 17:40 MYT
Disember 14, 2019 17:40 MYT
Sebanyak 40 peratus daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan mula dilaksanakan pada tahun 2020.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tahun 2020 adalah permulaan yang penting untuk kerajaan melaksanakan semua janji manifesto.
Katanya, sebanyak 60 peratus janji manifesto telah berjaya dilaksanakan dan pihaknya optimis dapat menunaikan semua janji manifesto tersebut sebelum tahun 2023.
"Perdana Menteri berkata bahawa 60 peratus janji telah ditunaikan, tinggal 40 peratus. Sebab itu kita kena mula tahun depan supaya akhirnya dapat disempurnakan sebelum 2020.
"2020 adalah penting sebagai permulaan laksanakan semua janji, (dan) saya rasa secara amnya, tak mahu spesifik.
"Lebih baik buat secara am, semua yang kita janji harus mula supaya dapat dilaksanakan sebelum 2020, banyak yang kita janji, kita dah buat," katanya pada sidang media selepas melawat Butterworth Digital Library yang hampir siap di Lebuh Banggali di sini pada Sabtu.
Tanpa memperincikan sebarang janji khusus yang akan mula dilaksanakan pada tahun depan itu, Guan Eng berkata semua janji dalam manifesto PH akan diberi tumpuan secara kolektif oleh kementerian yang bertanggungjawab.
Jelasnya, kerajaan PH telah menunaikan janji seperti pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), menurunkan harga petrol RON95 kepada RM2.08 dan juga Pas Perjalanan Rapid Tanpa Had My100 kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pas Mutiara kepada rakyat Pulau Pinang.
Malah, katanya kerajaan PH juga telah menjalankan pentadbiran yang bersih, telus dan beramanah yang mengelak pembaziran dana awam, yang dapat disalurkan kepada projek pembangunan rakyat di seluruh negara.
#janji manifesto
#Lim Guan Eng
#Menteri Kewangan
#Pakatan Harapan
#Pas Perjalanan Rapid Tanpa Had
#PRU14