Bakat digital jadi keutamaan majikan pada 2019 - Jobstreet
Dania Zainuddin
Januari 17, 2019 21:17 MYT
Januari 17, 2019 21:17 MYT
Lanskap pekerjaan bagi 2019 dijangka berubah dengan 96 peratus majikan memberi tumpuan kepada pengambilan bakat berkemahiran tinggi khususnya dalam segmen digital serta teknologi maklumat.
Menurut Pengurus Jobstreet.com Malaysia Gan Bock Herm, perubahan ini selaras dengan keperluan memenuhi kehendak ekonomi digital dan revolusi industri 4.0.
"Jumlah pekerja mahir juga akan menjadi terhad, dan oleh itu sangat penting untuk majikan beri tumpuan kepada proses transformasi digital.
"Majikan juga perlu peluang kepada pekerja sedia ada meningkatkan kemahiran menerusi penyediaan latihan yang mampu menepati kehendak pasaran," kata Gan kepada pemberita pada acara Rangkaian Sumber Manusia 2019, di sini pada Khamis.
Gan turut berkongsi hasil Kajian Prospek Kerja yang menunjukkan lima ciri utama dinilai majikan adalah kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, keupayaan bekerja secara berdikari, bersedia untuk belajar dan kemampuan bekerja di bawah tekanan.
Beliau berkata kaji selidik itu juga menonjolkan bahawa kira-kira 60 peratus majikan melaporkan mereka telah melaksanakan beberapa inisiatif atau projek transformasi digital, dengan baki majikan dalam kaji selidik itu kini di pelbagai peringkat perancangan dan sudah memulakan projek mereka.
Katanya organisasi perlu meningkatkan keupayaan inovasi dan teknologi mereka untuk faedah pertumbuhan dan mereka memerlukan bakat berkemahiran untuk menyokong perkembangan peniagaan mereka.