Bakar suar, merusuh bukan cara orang Johor - Onn Hafiz
Astro Awani
Mei 16, 2021 12:56 MYT
Mei 16, 2021 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan anak muda di Parit Raja, Batu Pahat yang merusuh dengan membakar suar dan menaikkan kain rentang provokatif bukan kaedah terbaik meluahkan kegusaran atau menyelesaikan sesuatu isu.
Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau memahami kegelisahan dalam kalangan anak-anak muda hari ini mengenai soal keselamatan, ekonomi dan politik yang kian meruncing namun ia bukan cara orang Johor.
"Menggunakan “hand flares” dan membuat kecoh di jalanan bukan caranya untuk kita menyuarakan dan menyelesaikan sesuatu perkara.
"Ini bukan cara kita orang Johor. Ia tidak mencerminkan agama, adab dan budaya kita," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya beliau yakin bahawa perkara ini akan dapat ditangani dengan baik dan berkesan, sekiranya ia dilakukan bersama dan secara bijaksana.
Sebelum ini polis menahan 20 individu yang dipercayai terlibat membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta selama 15 minit dengan menggunakan taktik (merentang) kain rentang, membakar suar dan mercun.
Tambah Onn Hafiz, beliau bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menghasut anak-anak muda untuk meraih sokongan bagi menghalalkan agenda tersirat.
"Saya khuatir ada dalang yang cuba menangguk di air yang keruh.
"Saya menyeru dan memohon kepada semua orang muda Johor supaya tidak membenarkan sesiapapun untuk memperalatkan kita," katanya lagi.
Beliau turut memohon supaya semua pihak bersabar dan bertenang sementara menunggu siasatan polis dijalankan.
#Exco
#Batu Pahat
#keselamatan
#Belia
#siasatan
#onn hafiz ghazi
#Johor
#Parit Raja
#merusuh
#bakar suar