Bakar rumah bapa, penganggur dihukum penjara 5 tahun
Astro Awani
Januari 22, 2014 15:10 MYT
Januari 22, 2014 15:10 MYT
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu setelah didapati bersalah membakar rumah bapanya sendiri pada Julai tahun lalu.
Mohamad Faizie Mohd Noor dijatuhi hukuman selepas mengaku melakukan perbuatan terbabit di hadapan hakim, Mohd Yusoff Yunus.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman penjara ke atasnya diringankan dengan mengambil kira tarikh penahanan yang bermula daripada tarikh dia mula ditahan.
Timbalan pendakwa raya, Ahmad Salam Yusof bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat memandangkan perbuatannya yang melibatkan kepentingan awam serta mendatangkan kerugian kepada bapa kandungnya.
Seksyen 486 kanun keseksaan memperuntukkan bahawa sesiapa yang melakukan khianat menggunakan api atau benda-benda letupan dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 20 tahun serta denda.
Faizie didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat lot 58, Jalan Kuala Krai, Batu 3, Kampung Wakaf Che Yeh pada pukul 7 malam pada 7 Julai tahun lalu.