Bakar kereta abang kekasih gara-gara cinta dihalang
Sinar Harian
April 1, 2021 09:20 MYT
April 1, 2021 09:20 MYT
KLANG: Seorang lelaki bertindak membakar kereta abang teman wanitanya di Taman Menara Maju di sini pada Selasa, gara-gara dihalang untuk bercinta.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu disedari pengadu kira-kira jam 2.30 pagi selepas dimaklumkan jirannya bahawa suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios telah membakar kereta miliknya jenis Honda City.
"Bertindak hasil laporan yang dibuat pengadu berusia 25 tahun itu, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 7 petang di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada hari yang sama.
"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan kes tersebut kerana tidak berpuas hati dengan pengadu yang juga seorang jurutera.
Katanya, suspek mendakwa dirinya dihalang dan dimarahi oleh pengadu kerana bercinta dengan adik pengadu.
"Suspek juga mendakwa dia bukan diupah oleh mana-mana geng kongsi gelap dan tindakan membakar kereta itu hanya kerana tidak berpuas hati dengan pengadu," katanya.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan suspek direman selama lima hari sehingga 3 April untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.