Bakar kain untuk tarik perhatian kapal besar
Bernama
Disember 13, 2019 07:13 MYT
Disember 13, 2019 07:13 MYT
Dua beranak yang hanyut di laut sejak Khamis, memberitahu mereka membakar kain bagi menarik perhatian sebuah kapal besar yang dilihat berada berhampiran bot fiber mereka.
Bagaimanapun, menurut Shaharul Nizam Mat Yasin, 44, berkata cubaan itu gagal kerana jarak mereka dengan kapal tersebut berkemungkinan terlalu jauh menyebabkan mereka tidak dapat dilihat.
"Kami juga melambai-lambai tangan ke arah bot itu, tapi persekitaran yang gelap dan ombak besar mungkin menghalang mereka (daripada melihat kami). Alhamdulillah, doa untuk pulang dengan selamat dimakbulkan apabila sebuah bot pukat tunda nelayan menemui kami hari ini.
"Kami kerap mengingatkan diri untuk tidak panik dan sepanjang hanyut, kami tidak tidur kerana bimbang bot terbalik ekoran keadaan laut bergelora," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Jeti Tanjung Api di sini, pada Jumaat.
Shaharul Nizam dan ayahnya, Mat Yasin Sulong, 67, yang berasal dari Beserah di sini, dilaporkan hilang selepas memaklumkan enjin bot fiber mereka rosak kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang semasa keluar menangkap ikan.
Shaharul Nizam memberitahu dia sempat menghubungi isterinya Hazariah Yahya, 39, sekitar 3.30 petang Khamis, untuk meminta bantuan dan telefon bimbitnya kehabisan bateri sekitar 7 petang menyebabkan mereka terputus hubungan sepenuhnya.
Sementara itu, Mat Yasin mengakui tidak menyangka hari pertama mereka 'kembali' ke laut selepas sebulan berehat ekoran cuaca yang tidak mengizinkan bot kecil berada di laut, memberi pengalaman baharu yang tidak mungkin dapat dilupakan.
"Saya menggunakan pengetahuan sebagai nelayan semasa berdepan situasi ini seperti menaikkan sauh apabila laut semakin bergelora dan membiarkan bot hanyut kerana bimbang akan terbalik jika dilanda ombak besar dalam keadaan sauh masih berlabuh.
"Kami juga berjimat cermat dengan bekalan makanan dan air minuman kerana sedar bekalan yang dibawa hanya cukup untuk tempoh sehari sedangkan entah bila penyelamat boleh menemui kami," katanya.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata mangsa ditemui oleh sebuah kapal nelayan tempatan kira-kira 11 batu nautika dari lokasi bot mereka dilaporkan rosak sebelum ditunda ke jeti tersebut.
Penemuan itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak 9.30 malam pada Khamis, dengan penglibatan aset udara APMM dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Polis Marin selain dibantu bot nelayan tempatan.
-- BERNAMA
#APMM
#bakar kain
#bot fiber
#bot hanyut
#dua beranak
#enjin rosak
#habis bateri
#hanyut
#hilang
#nelayan
#Pahang
#selamat
#tangkap ikan
#Tanjung Gelang
#Telefon bimbit