Bakar al-Quran: Ini satu tindakan sangat jijik - Zambry
Hasimi Muhamad
Januari 23, 2023 15:03 MYT
Januari 23, 2023 15:03 MYT
SEPANG: Tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sweden baru-baru ini disifatkan sebagai sangat jijik.
Menteri Luar, Datuk Ser Zambry Abdul Kadir berkata, perbuatan tersebut juga melampaui batas persefahaman dan hormat-menghormati dalam kehidupan beragama di seluruh dunia.
Justeru, beliau berkata Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia berkenaan.
"Kita juga melihat ini sebagai satu tindakan sangat jijik kerana apa yang berlaku adalah masalah dalaman Sweden dengan sebuah negara yang lain, yang tidak sewajarnya membawa agama menjadi faktor pertikaian antara negara.
"Ini jelas menunjukkan satu tindakan yang bersifat ganas, ekstrem dan barbaric yang tidak dapat diterima oleh mana-mana manusia atau negara yang bertamadun, yang perlu menghormati dari segi kebebasan beragama," katanya dalam satu rakaman video pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zambry berkata apa yang dilakukan jelas merupakan satu langkah untuk menanam kebencian dan provokasi yang boleh mencetuskan ketidakstabilan di seluruh dunia.
Beliau menambah, apa yang lebih menyedihkan ialah perbuatan ekstrem Rasmus itu langsung tidak dihentikan oleh pihak berkuasa Sweden.
"Mereka bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan kononnya ini bukanlah bukan cara demokrasi. Cara demokrasi itu adalah dengan menjaga keamanan dan kestabilan di sesebuah tempat di negara.
"Lantaran itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang sangat tegas dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini," kata Zambry.
Terdahulu, Rasmus yang merupakan, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs mendapat kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, yang mencetuskan kemarahan dunia Islam.