Bakar Al-Quran: Dyana Sofya, ahli DAP buat laporan polis terhadap Dr Mashitah

T K Letchumy Tamboo
November 28, 2014 14:38 MYT
Beberapa ahli politik DAP, hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Wanita Umno Bahagian Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim. - Astro AWANI
Beberapa ahli politik DAP, hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Wanita Umno Bahagian Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim atas ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO 2014, yang menyeru perwakilan supaya jangan menjadi majoriti senyap atas kejadian bakar Al-Quran di Kedah.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata laporan polis telah dibuat kerana kenyataan Mashitah langsung tidak bertanggungjawab.
“Kita telah mendapatkan kemerdekaan sejak tahun 1957, tetapi perkara seperti ini masih lagi berlaku.
“Saya tidak pasti sekiranya beliau berkata demikian semasa merujuk kepada kejadian seorang suspek dilaporkan ditahan selepas dipercayai membakar beberapa cebisan helaian al-Quran dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar, atau tidak.
“Jika beliau merujuk kepada kejadian itu, siasatan polis telah mendedahkan bahawa suspek itu kurang siuman. Malah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pun sudah membuat kenyataan tentang kejadian itu.
“Kalau memang pun orang Cina atau orang bukan Islam membuat perkara itu, ia adalah perbuatan individu. Jangan salahkan satu komuniti," katanya semasa satu sidang media di luar Balai Polis Tun H.S. Lee di ibu negara, sejurus laporan polis dibuat.
Sementara itu, Pemimpin muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata kenyataan Mashitah boleh menimbulkan huru-hara dan pecah belah.
“Contohnya apabila Mashitah berkata ‘rasa tercabar atau tidak?’, cara menyampaikan perkara ini adalah seperti timbulkan isu perkauman. Ini sangat tidak bertanggungjawab dan harus disiasat,” katanya.
Ahli DAP yang membuat laporan polis terhadap Datuk Dr Mashitah Ibrahim. - Astro AWANI
Pemimpin DAP yang membuat laporan ini termasuk Ahli Parlimen Batu Kawan Kasturi Pato, berkata Mashitah harus disiasat di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan yang menyatakan sesiapa yang melalui percakapan, isyarat atau sesuatu yang merosakkan keharmonian, perpaduan atau mencetus kebencian terhadap agama dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Sebuah portal berita melaporkan bahawa bekas timbalan menteri itu betanyakan perwakilan UMNO adakah mereka rasa tercabar dengan kejadian itu.
"Rasa tercabar atau tidak? Rasa sensitif atau tak? Rasa sedih atau tak. Kalau rasa begitu, kenapa tidak bersuara. Jangan diam. Mana suara kita di dalam media, di alam maya. Jangan jadi majoriti senyap. (Jangan biarkan) yang minoriti ini bercakap," katanya seperti dipetik dari laporan itu.
Walau bagaimanapun, Mukhriz telah berkata siasatan polis mendapati cebisan Al-Quran itu tidak dibakar, sebaliknya dikoyak oleh seorang lelaki tidak siuman dan dia kini ditahan di Wad Psikiatrik, Hospital Sultanah Bahiyah.
#Al-Quran #bakar #DAP #Dyana Sofya #Kasturi Pato #laporan polis #Teo Nie Ching
;