Bakal jururawat berhati mulia, bantu warga emas kencing dalam seluar, basuh tandas awam
Astro Awani
Januari 14, 2020 17:26 MYT
Januari 14, 2020 17:26 MYT
KISAH ini barangkali, sudah beberapa hari berlaku, namun ada kewajarannya untuk dikongsi di Astro AWANI kerana terdapat mesej harmoni yang terkandung di sebaliknya.
Ia mengenai keluhuran pekerti seorang bakal jururawat yang membantu seorang warga emas yang juga orang kurang upaya.
Semasa hendak menaiki bas untuk pulang ke rumah pada 9 Januari lalu, Lucia Pier dapat menghidu bau yang kurang enak dan air kencing di hentian bas.
Dan apabila menaiki bas, pemandu pengangkutan awam itu telah melarang seorang warga emas untuk menyertai penumpang lain kerana seluarnya basah dan berbau.
Tindakan pemandu itu adalah kerana tidak mahu bau kurang enak itu mengganggu penumpang lain.
Kata Lucia, warga emas itu berusaha meminta kebenaran berada dalam bas bagi dia meneruskan perjalanan, namun, permintaan itu ditolak.
Menurut Lucia, ketika itu juga, dia berada dalam dilema, sama ada mahu membantu warga emas itu atau membiarkannya.
Bagaimanapun, apabila mak cik berkenaan membuat keputusan untuk turun dari bas, Lucia memilih mengikutnya dan menawarkan pertolongan.
"Saya dimaklumkan, mak cik itu dia baru sahaja selesai mendapatkan rawatan di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia).
"Dia sakit kaki, matanya kabur serta mengalami kegagalan buah pinggang," kata Lucia yang berkongsi pengalaman itu di Facebook peribadinya.
Kata Lucia, warga emas itu mendakwa dia sebatang kara dan tidak mempunyai sesiapa untuk dihubungi.
"Dia benar-benar memerlukan bantuan. Saya membantunya dengan membawanya ke sebuah tandas OKU di stesen MRT," cerita Lucia sambil memaklumkan terdapat cabaran lain yang dihadapi dia dan warga emas itu ekoran kemudahan tandas yang tidak sempurna.
Dalam keadaan terdesak itu, warga emas berkenaan mahu membilas seluar yang dipakainya sebelum memakainya semula.
Memandangkan tidak sampai untuk melihat mak cik itu menyarungkan seluar yang sama, Lucia bergegas ke sebuah pusat beli-belah berdekatan untuk membeli pakaian baharu beserta tuala muka.
Warga emas itu dibiarkanya untuk membersihkan dirinya.
Belum selesai cabaran itu, sebaik kembali semula ke tandas berkenaan, dia dapat mendengar rungutan tukang cuci mengenai keadaan tandas basah serta berbau.
Tukang cuci itu juga, kata Lucia, meminta warga emas itu segera meninggalkan tandas berkenaan.
"Saya beritahu tukang cuci itu, saya akan bantu dia bersihkan tandas. Selesai membantu mak cik berkenaan menukar seluar, saya minta dia tunggu sebentar di luar sementara saya bersihkan lantai tandas.
"Saya menemani mak cik menaiki bas sehingga dia hilang dari pandangan saya," tulis Lucier lagi.
Lucier berkata, sebagai pengguna bas awam dan penuntut jurusan kejururawatan, dia biasa melihat ramai warga emas menggunakan pengangkutan awam untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Ini, kata Lucier, memerlukan pengguna pengangkutan awam banyak berjalan serta menunggu di dalam cuaca yang tidak menentu.
"Kepada pengurusan syarikat pengangkutan awam, saya harap tindakan memperbaiki kemudahan awam untuk warga emas dapat diambil untuk keselesaan mereka.
"Kepada pemandu bas, tukang cuci dan pengguna pengangkutan awam pula, saya harap anda semua akan lebih sensitif terhadap warga emas apabila mereka berada dalam keadaan yang sukar," tulis Lucier lagi dalam catatannya.
Perkongsian kisah menyentuh emosi oleh Lucier ini telah menerima lebih 120 komen, 7,500 tanda suka serta lebih 2,300 perkongsian.