Bakal Duta Besar Malaysia ke AS diplomat terlatih, mahir perhubungan antarabangsa - Mohamad

Bernama
Februari 24, 2025 18:23 MYT
Mohamad berkata calon Duta Besar tersebut juga telah dipersetujui pihak AS dan Kementerian Luar kini dalam fasa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail/Helmi Hamid
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu merupakan seorang diplomat dan duta terlatih yang berpengalaman luas dalam proses perundingan dan perhubungan antarabangsa, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya ciri-ciri tersebut adalah penting bagi seorang Duta Besar Malaysia ke AS kerana hubungan dua hala Malaysia dan AS yang meluas dan penting terutamanya dari segi perdagangan.
Selain itu keadaan negara itu yang sekarang berada di bawah pentadbiran baharu Presiden Donald Trump serta rancangan Malaysia untuk menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-AS tahun ini sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 juga menjadi faktor penting dalam pemilihan calon tersebut.
"Jadi kita tidak boleh memandang ringan menghantar sebarangan orang," katanya ketika ditemui pemberita di sesi Santai Teh Tarik Concorde Club di sini, hari ini.
Turut hadir pada program itu Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Mohamad berkata calon Duta Besar tersebut juga telah dipersetujui pihak AS dan Kementerian Luar kini dalam fasa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengesahkan kerajaan sudah mempunyai calon Duta Besar Malaysia ke AS bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang telah tamat tempoh perkhidmatan dua tahunnya awal bulan ini.
-- BERNAMA
#Duta Besar Malaysia #Amerika Syarikat #diplomat terlatih #Mohamad Hasan
;