Bakal doktor jadi 'bapa ayam' dipenjara lagi
Bernama
Mac 29, 2018 17:40 MYT
Mac 29, 2018 17:40 MYT
Seorang siswazah perubatan sebuah universiti di Mesir hari ini dipenjara 10 tahun dengan satu sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak atas kesalahan hidup daripada hasil persundalan seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun.
Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Azzuar Yusoff, 30, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah ketika sebutan kes itu hari ini semasa perbicaraan kes tersebut dengan pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak dengan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Datin M. Kunasundary semalam (28 Mac) atas tuduhan menjadi orang tengah dalam kegiatan persundalan dan hidup daripada hasil persundalan menggunakan aplikasi WeChat sebagai medium untuk berurus niaga.
Bagaimanapun, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 tahun itu selepas dia selesai menjalani hukuman penjara 14 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan hakim sama (Kunasundary) pada 23 Mac lepas atas kesalahan sama.
Yong Zarida dalam keputusannya berkata hukuman yang diputuskan mahkamah adalah sebagai pengajaran atas perbuatan yang dilakukan tertuduh.
“Ini peluang kedua kamu untuk kembali ke jalan yang benar. Baiki diri kamu selepas ini. Kamu seorang yang pandai dan berpelajaran tinggi malah boleh tawarkan perkhidmatan untuk kebaikan banduan di sana. Jangan musnahkan masa depan kamu lagi dan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri selepas ini,” katanya.
Khairul Azzuar didakwa hidup daripada hasil persundalan kanak-kanak itu di sebuah hotel di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, pada 2 petang sehingga 3.30 petang, pada 26 Jan 2017 mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memohon hukuman setimpal atas alasan Khairul Azzuar menukar pengakuan bersalah selepas beberapa saksi dipanggil memberi keterangan dan bukan membuat pengakuan itu di peringkat awal kes.
“Ini adalah kesalahan yang serius dan bukan sahaja salah dari segi undang-undang malah dari sudut agama. Tertuduh adalah seorang yang bijak dan sebagai orang dewasa sepatutnya boleh membuat pertimbangan antara yang salah dan benar.
“Kes ini membabitkan kanak-kanak yang mudah terpengaruh. Pohon mahkamah mengenakan hukuman yang wajar supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi semula kesalahan itu apabila bebas nanti,” katanya sambil menambah tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan ke atas mangsa.
Peguam Suzanawati Ismail, yang mewakili Khairul Azzuar memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan memohon supaya diberikan peluang kedua terhadapnya.
“Anak guam saya adalah penuntut dalam jurusan perubatan dan pembedahan. Dia kini insaf dengan perbuatan itu dan mohon diberikan peluang kedua kerana akibat kes ini dia dibuang keluarga dan masa depannya turut musnah,” katanya.
Mengikut fakta kes, mangsa mengesahkan kepada pihak polis bahawa dia membuat aktiviti pelacuran selepas ditawarkan oleh tertuduh dan mendakwa telah mendapat bayaran khidmat seks yang diberikan oleh dua pelanggannya tetapi wang itu kemudiannya diberikan kepada tertuduh.
Sementara itu, Khairul Azzuar yang ditempatkan di Penjara Kajang, memohon supaya dia dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh untuk memudahkan ibu dan anggota keluarga melawatnya, bagaimanapun mahkamah berkata ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah itu dan menasihati tertuduh supaya memohon dengan pihak penjara.
-- BERNAMA
#banduan
#bapa ayam
#Doktor
#Kajang
#Kanak-kanak
#khidmat seks
#Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak
#Mesir
#pelanggan
#penjara
#persundalan
#perubatan
#siswazah
#WeChat