Baju percuma di stesen minyak sempena Ramadan

Shuhada Abdul Kadir
Mei 15, 2019 12:28 MYT
Pakaian terpakai yang boleh diambil secara percuma di stesen minyak Shell di Jalan Mohd Zin, Batu Berendam, Melaka sepanjang bulan Ramadan. - Astro AWANI
Selain ibadah solat, bulan Ramadan juga merupakan pintu untuk umat Islam mengumpul pahala dengan membantu golongan kurang bernasib baik.
Mengambil kesempatan itu, sebuah stesen minyak Shell di Jalan Mohd Zin Batu Berendam, Melaka tidak ketinggalan memanfaatkan bulan ini dengan memberi pakaian terpakai percuma.
Pengusahanya, Zulkifly Jantan berkata, program yang pernah diadakan sebelum ini merupakan inisiatif pihaknya berkongsi rezeki melalui pemberian pakaian percuma yang boleh diambil sesiapa sahaja.
Menurutnya, mereka yang datang ke stesen minyaknya boleh memilih pakaian mereka sendiri tanpa ada had dengan pelbagai jenis pilihan fabrik.
Terdapat pelbagai jenis pakaian untuk dewasa dan kanak-kanak. Semua pakaian dijamin elok untuk dipakai dan ada juga yang berjenama.
Ujar Zulkifly, pada awalnya dia bermula dengan hanya meletakkan pakaian ahli keluarga. Sambutan positif pelanggan menggalakkannya untuk meneruskan inisiatif tersebut.
Biasanya, dia akan mula letak pakaian di ruang hadapan stesen bermula 1 Ramadan hinggalah ruang menyangkut pakaian kosong.
"Ini program kedua yang kita buat, yang pertama diadakan dua tahun lepas. Yang lainnya tahun ini, pelanggan pun banyak menyumbang sama, jadi lebih banyak pilihan pakaian.
"Saya rasa program ini akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada orang ramai," katanya sambil menambah, dia mengalu-alukan sumbangan baju daripada orang ramai.
Selain itu, Zulkifly turut mengambil inisiatif memberi 'kit buka puasa' percuma kepada pelanggan Islam yang datang ke stesen minyaknya antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang sepanjang Ramadan.
Sementara itu, seorang penduduk, Intan Azwa Ismail, 49, berkata dia tidak melepas peluang mengambil beberapa pakaian untuk anak-anak saudaranya.
"Selain saudara-mara dan anak buah, saya juga agihkan baju-baju ini kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan," kata suri rumah itu.
Bagi seorang penyumbang, Mohd Yani Ali, 48, dari Bertam Hulu, dia berkata dia memang berhasrat untuk menderma pakaian arwah isterinya yang meninggal dunia lima bulan lalu, sebelum dimaklumkan anak sulungnya yang mengetahui program anjuran stesen minyak itu menerusi laman Facebook.
"Sesuai sangat sumbangan dapat dibuat ketika bulan Ramadan. Saya harap baju-baju arwah isteri dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.
#baju percuma #jendela ramadan #pakaian percuma #ramadan 1440 #ramadanawani1440 #shell #shell batu berendam #stesen minyak
;