Baju merdeka permintaan terakhir Nur Arissa - Bapa

Sinar Harian
Ogos 14, 2024 15:45 MYT
Nur Arissa (kanan), maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Selangor-Rawang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah bersama ibunya. - Foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Pakaian bertemakan kemerdekaan menjadi permintaan terakhir Allahyarham Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini pada Selasa.
Bapanya, Mohd Azril Kamarudin, 35, berkata, permintaan itu disuarakan Allahyarham Nur Arissa pada minggu lalu.
"Arwah ada beritahu dia seorang sahaja dalam kelas yang belum ada baju (pakaian) merdeka, memandangkan semua kawan lain sudah membeli baju," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun Mohd Azril memberitahu, isterinya, Norshaniza Mohamad Nayan, 34, memenuhi hasrat Allahyarham Nur Arissa apabila membuat pembelian pakaian itu di sebuah platform perdagangan dalam talian terkenal.
Ujarnya, pakaian itu sempat dipakai anak sulung daripada tiga beradik itu semasa majlis pelancaran bulan kemerdekaan di sekolahnya di Bestari Jaya pada Isnin lalu.
"Saya nampak arwah (Nur Arissa) sangat gembira mengenakan busana kemerdekaan pada hari tersebut.
"Saya tidak menyangka itu permintaan terakhir arwah yang telah menemui Ilahi buat selama-lamanya," jelasnya.
Mohd Azril memberitahu, lebih memilukan apabila Allahyarham Nur Arissa hanya tinggal 11 hari sahaja lagi untuk menyambut ulang tahun kelahiran.
"Tarikh lahir arwah sepatutnya pada Sabtu depan iaitu 24 Ogos ini, tetapi rupa-rupanya ALLAH lebih menyayanginya," tambahnya.
Mengulas mengenai kesihatan isterinya, Mohd Azril memaklumkan, Norshaniza yang juga seorang guru di sekolah Nur Arissa ketika ini masih berada di wad kecemasan Hospital Tanjong Karang.
Katanya, isterinya sudah mula sedar, bagaimanapun masih menunggu laporan imbasan yang dijalankan pada Selasa malam.
"Keadaannya semakin stabil, cuma mengalami kecederaan bahagian rusuk kanan dan kiri, selain pada pinggul serta tulang belakang," jelasnya.
Terdahulu, jenazah murid Tahun 2 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor - Rawang di sini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai di sini pada Rabu.
Jenazah Nur Arissa sebelum itu dibawa ke Masjid Raja Lumu di sini untuk disembahyangkan pada jam 9.15 pagi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai dan selamat dikebumikan kira-kira jam 10.10 pagi.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang murid Tahun 2 maut, manakala ibunya cedera parah selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan mangsa berusia lapan tahun meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Ibu mangsa berusia 33 tahun dan pemandu lori, 58, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah hospital sama. -- Sinar Harian
#baju merdeka #permintaan terakhir #Nur Arissa Safiyya Mohd Azril #maut kemalangan
;