Bajet Selangor 2018 hanya bajet 'kosmetik' - Mat Nadzari
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 3, 2017 20:37 MYT
November 3, 2017 20:37 MYT
Pembentangan Bajet Selangor 2018 disifatkan satu bajet 'kosmetik' yang sebelum ini pernah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir negeri itu.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mendakwa, bajet yang dibentangkan Mohamed Azmin itu juga tidak melambangkan pembentangan yang bijak.
"Saya lihat ia hanya bajet 'kosmetik' kerana semua inisiatif BN di Selangor sebelum ini diteruskan beliau (Mohamed Azmin)," katanya ketika ditemui selepas Pembentangan Bajet Selangor 2018 di Shah Alam pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mendakwa Bajet Selangor 2018 juga dilihat tidak memberi fokus kepada isu-isu yang membebani rakyat di negeri ini khususnya golongan penganggur.
Ujarnya, bajet pembangunan yang dibentangkan Mohamed Azmin tidak menyenaraikan usaha membantu mengurangkan pengangguran.
"Selain itu, jumlah pelaburan asing yang disenaraikan juga tidak menyatakan peluang kepada golongan penganggur.
"Pengangguran di Selangor adalah yang tertinggi di negara ini. Jika isu itu tidak diselesaikan, saya tidak nampak kesempurnaan bajet Selangor untuk 2018," katanya.
Mat Nadzari turut mendakwa, Mohamed Azmin bersifat pilih kasih apabila tiada sebarang program pembangunan dilakukan di utara negeri itu.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan BN tidak memahami kerana isu pengangguran dalam kalangan belia merupakan fokus utama pentadbiran kerajaan negeri.
"Ini yang kita kena faham, kita memang ada ramai lepasan ijazah namun mereka tidak memenuhi kehendak pasaran. Pasaran pekerjaan kini memerlukan tenaga mahir serta bukan akademik semata-mata.
"Atas sebab itu dalam bajet Selangor kali ini kita memperuntukkan RM52 juta agar golongan belia dapat meningkatkan tahap kemahiran mereka," katanya.
#Bajet kosmetik
#Bajet Selangor 2018
#Belia
#generasi belia
#Mohamed Azmin Ali
#Nadzari Ahmad Dahlan
#pengangguran
#Selangor