Bajet pembangunan untuk Kelantan sentiasa ditambah - PM Najib
Muhafandi Muhamad
Mac 12, 2017 16:08 MYT
Mac 12, 2017 16:08 MYT
Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganaktirikan negeri Kelantan malah peruntukan pembangunan untuk negeri itu meningkat setiap tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan peruntukan pembangunan itu adalah bagi memastikan Kelantan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Datuk Seri Najib berkata, jika sebelum ini Kelantan sering menerima bajet yang kecil, namun sejak beliau mengambil alih pentadbiran, peruntukan untuk negeri itu sentiasa bertambah.
“Saya tambah peruntukan. Buktinya pada RMK-8 (Rancangan Malaysia ke-8), RM3.37 bilion, RMK-9, RM6.19 bilion, kepada Kelantan. RMK-10, RM5.36 bilion. Tetapi di zaman saya menjadi perdana menteri, peruntukan Kelantan RM12.11 bilion. Pada saya penduduk Kelantan ini adalah rakyat, manusia,’ katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Hospital Bachok, di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam Rancangan Malaysia ke-11, Kementerian Kesihatan sahaja akan membelanjakan RM600 juta untuk negeri Kelantan.
Begitu juga sepanjang RMK-8 sehingga RMK-10, sejumlah 2,410 projek telah dilaksanakan di negeri itu yang melibatkan nilai RM15 bilion.
Sementara di bawah RMK-11, sebanyak 233 projek akan dilaksanakan melibatkan peruntukan RM10.74 bilion.
Terbaharu pembinaan Hospital Bachok yang menelan belanja RM140 juta dan dijangka siap penghujung tahun depan.
Datuk Seri Najib menambah, kerajaan juga akan membina rangkaian Rel Pantai Timur ( ECRL) yang akan melalui Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya bagi memenuhi tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang berlaku adil kepada semua rakyat dan meletakkan soal undi dan sokongan sebagai perkara kedua.