Bajet MAIWP 2025: Anggaran pendapatan naik kepada RM1.67 bilion, pembangunan ummah teras utama - Na'im
Khalis Khadir
Disember 13, 2024 17:45 MYT
Disember 13, 2024 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Anggaran pendapatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2025 meningkat 12 peratus kepada RM1.67 bilion dengan kutipan zakat disasarkan mencapai RM1.2 bilion.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika mengulas Bajet MAIWP 2025 berkata, anggaran perbelanjaan pula merekodkan RM1.67 bilion dengan perbelanjaan agihan RM1.34 bilion, pengurusan RM246 juta dan pembangunan RM87 juta.
Beliau berkata, MAIWP mencatat pencapaian yang memberangsangkan sepanjang 2024 dengan agihan zakat sebanyak RM906.87 juta iaitu peningkatan 20 peratus berbanding 2023.
“MAIWP turut memainkan peranan dalam sektor pendidikan dengan menawarkan bantuan komputer riba, biasiswa dan pembayaran pinjaman untuk membantu 1,500 pelajar selain meringankan beban asnaf menangani masalah kewangan.
“Ini termasuk peruntukan RM1.11 bilion untuk asnaf meliputi Bantuan Sara Hidup, bantuan kewangan, bantuan makanan, program keusahawanan dan pertanian serta agihan zakat individu dan syarikat.
“Bagi pendidikan modal insan, MAIWP memperuntuk RM230.63 juta melibatkan skim bantuan Pelajaran, program pembangunan pendidikan asnaf dan sokongan kepada institusi pendidikan MAIWP,” katanya ketika sidang media di Menara MAIWP, di sini, pada Khamis.
Lebih bermakna katanya, MAIWP berjaya mengekalkan rekod cemerlang selama 18 tahun untuk Audit Tanpa Teguran.
“Dengan itu, MAIWP memperkenalkan Insentif Khas 2024 berupa bantuan RM500 seorang kepada 33,000 penerima bantuan kewangan bulanan, melibatkan peruntukan RM16.5 juta. Bantuan ini akan disalurkan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2024,” ujarnya.
Bajet MAIWP 2025 dengan tema “Melestari Ummah Wilayah Sejahtera” dirangka berasaskan Pelan Strategik MAIWP 2022–2025 dan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al Falah) 2023–2027.
Mohd Na’im menyimpulkan, Bajet 2025 itu mencerminkan komitmen MAIWP dalam mempergiat membantu asnaf dan pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan dengan menekankan elemen kesejahteraan asnaf, pemerkasaan modal insan melalui pendidikan dan pemerkasaan aset ummah.