Bajet 2023: Wakaf Halal PKS OKU suatu yang amat ditunggu - Ras Adiba

Bernama
Oktober 7, 2022 22:11 MYT
Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet 2023 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan bagi menyemarakkan pembangunan industri halal dengan memperkenalkan Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Orang Kurang Upaya (OKU) adalah perkara yang amat ditunggu sejak sekian lama, kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Beliau yang berpuas hati dengan keseluruhan Bajet 2023 yang melibatkan OKU berkata berita baik itu adalah antara perkara yang dibincangkan bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"(Selain itu) antara yang menarik dan yang kami nanti-nantikan adalah perkhidmatan e-hailing yang dari rumah ke rumah, terutamanya untuk OKU yang menggunakan kerusi roda dan kita lihat tadi ada juga mengenai penggunaan ambulift untuk OKU yang terbang ke Sabah dan Sarawak," katanya selepas pembentangan Bajet 2023, di sini hari ini.
Presiden OKU Sentral itu turut berpuas hati dengan peruntukan RM12 juta khusus untuk pembangunan sukan OKU selain peruntukan RM20 juta bagi membekalkan peralatan mengajar serta menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas.
"Jadi bajet kali ini bagi saya adalah suatu kemenangan... saya telah pun sarankan 11 (cadangan untuk OKU) dan daripada 11 itu saya boleh katakan lebih daripada separuh telah dicapai, syukur Alhamdulillah," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Tengku Zafrul pada pembentangan Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat hari ini berkata kebajikan OKU akan terus diberi perhatian di samping melaksanakan inisiatif yang berupaya menggilap potensi OKU untuk menyumbang kepada ekonomi diri.
Tengku Zafrul berkata sejumlah RM1.2 bilion peruntukan disediakan untuk golongan itu, antaranya menerusi bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun pekerja cacat.
Sementara itu, di Kelantan, Drawi @ Md Arif Ab Latif, 76, yang merupakan OKU fizikal berkata langkah kerajaan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggalakkan lebih ramai OKU berniaga akan memudahkan dan menarik minat golongan itu untuk memulakan perniagaan.
"Dengan itu OKU boleh terus berniaga dan memikirkan strategi atau usaha mengembangkan perniagaan sedia ada," katanya yang berasal dari Bachok dan kini menjalankan perniagaan jahitan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan Datuk Mumtaz Md Nawi pula berkata setakat ini terdapat hampir 30,000 OKU yang terlibat dalam bidang perniagaan di negeri berkenaan.
-- BERNAMA
#Wakaf Halal PKS OKU #perusahaan kecil dan sederhana #Orang Kurang Upaya #Ras Adiba Radzi #Bajet 2023
;