Bajet 2023: Tidak patut bentang hari ini kemudian bubar Parlimen - Mahfuz Omar
Faris Danial Razi
Oktober 7, 2022 21:36 MYT
Oktober 7, 2022 21:36 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan yang prihatin tidak seharusnya membentangkan Bajet 2023 hari ini dan kemudian membubarkan Parlimen tanpa sempat ia dibahaskan di Dewan Rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menegaskan, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya bertindak 'kurang matang'.
“Kerajaan tidak patut seolah-olah memberitahu rakyat, 'Kalau mahu Bajet ini maka kamu perlu undi kami'. Tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang jijik dalam sebuah negara demokrasi.
“Sebagai sebuah kerajaan yang sering ingin dilihat prihatin kepada rakyat, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya tidak membentangkan Bajet 2023 hari ini.
“Dan kemudiannya membubarkan Parlimen tanpa sempat bajet tersebut dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat,” jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kerajaan juga diharapkan tidak memperbudak-budakan rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 tanpa sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Sedarlah seluruh Keluarga Malaysia sekarang berdebar-debar untuk berdepan musim tengkujuh, bukan mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan,” tambahnya.
Terdahulu, Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, adalah antara tumpuan kerajaan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Bera itu berkata, bajet dengan peruntukan RM372.3 bilion itu juga menggariskan langkah persediaan bagi menghadapi suasana ekonomi yang tidak menentu pada tahun hadapan.
Katanya lagi, sesuai dengan tema yang ditetapkan, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada seluruh warga Malaysia membabitkan semua kumpulan.