Bajet 2023: Selaraskan permintaan, penawaran dalam pasaran kerja berkemahiran tinggi
Madiha Abdullah
September 22, 2022 08:30 MYT
September 22, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tenaga buruh merupakan tunjang utama dalam menggerakkan ekonomi negara.
Namun, Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Juita Mohamad berpendapat, masalah utama di negara ini membabitkan tenaga buruh ialah ketidakselarasan antara permintaan dan penawaran.
"Menurut data terbaharu yang kita dapati, 30 peratus daripada pekerjaan yang ada di Malaysia adalah untuk mereka yang berkemahiran tinggi dan pecahan lain ialah untuk yang berkemahiran rendah dan sederhana.
"Jadi, terdapat ketidakselarasan dalam permintaan, dan juga penawaran, dalam pasaran pekerja.
"Lagi satu masalah ialah, akibat kenaikan gaji yang tidak setara dengan permintaan pasaran, juga faktor inflasi, serta peningkatan kos hidup.
"Undang-undang berkenaan dengan gaji minumum itu bagus dan berkesan untuk mempertingkatkan kadar gaji minimum dalam masa beberapa tahun ini.
"Tetapi, peningkatan gaji ini perlu selari dengan faktor-faktor yang saya perkatakan tadi.
"Selain itu, kita perlu juga lihat bagaimana untuk memperkasakan lagi persatuan pekerja kita supaya mereka boleh membincangkan hal-hal berkenaan dengan kenaikan tangga gaji dan sebagainya," katanya ketika muncul dalam program Buletin AWANI, pada Rabu.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan negara mempunyai kepakaran yang mencukupi bagi mendepani era Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).
"Pekerja-pekerja ini akan memberi sokongan kepada industri 4IR yang memfokuskan terhadap kerja-kerja automasi dan digitalisasi.
"Justeru, program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada perlu diperkukuhkan lagi supaya tenaga kerja kita adalah dalam kalangan mereka yang berkualiti tinggi.
"Pada masa yang sama, kita juga harus memikirkan tentang isu mobiliti pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana supaya kita boleh mempertingkatkan atau memperkukuhkan lagi industri yang sejajar dengan 4IR," ujarnya.