Bajet 2023 rangkumi kepentingan semua segmen masyarakat - PM Ismail Sabri

Fareez Azman
Ogos 20, 2022 22:13 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Belanjawan 2023 dijangka merangkumi kepentingan semua lapisan masyarakat di negara ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Bajet 2023 dijangka merangkumi kepentingan semua lapisan masyarakat di negara ini.
Jelasnya, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan konsultasi dengan semua sektor bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serta kepentingan rakyat diutamakan.
"Pastinya pada Bajet 2023 kita perkenalkan, kita pastikan ia merangkumi semua pihak, semua segmen dalam masyarakat.
"Kita juga dalam persediaan menghadapi keadaan ekonomi yang mungkin agak tidak menentu tahun depan. Semua orang bercakap selagi perang antara Rusia dan Ukraine tidak selesai, kesan ekonomi mungkin akan membimbangkan tahun hadapan sama ada di negara lain dan mungkin Malaysia tidak terkecuali," jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, antara fokus Bajet 2023 termasuk mengenai pemulihan perniagaan dan ekonomi terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
"Seperti saya kata, (antara fokus ialah) perniagaan baru dibuka, ekonomi dalam proses pemulihan, walaupun KDNK terbaik berbanding negara Asia Tenggara yang lain.
"Tetapi banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan dan dilakukan kerajaan dalam menyediakan rakyat dari segi pekerjaan, dan IKS juga terjejas begitu lama dengan pandemik.
"Jadi, sokongan peniaga kecil dan sederhana ini akan diteruskan dan mungkin akan diumumkan beberapa insentif di dalam bajet," katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, konsultasi bajet terbabit juga akan melibatkan maklum balas daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang.
"Saya arahkan MOF supaya membuat konsultasi bajet dengan pihak swasta, kerajaan negeri, komuniti perniagaan, Ahli Parlimen dan ADUN terdiri daripada kerajaan dan pembangkang.
"Jadi, semua rakyat Malaysia ada ruang berikan pandangan, saya difahamkan oleh MOF, mereka mewujudkan satu ruang rakyat memberikan pandangan secara online.
"Bajet kali ini adalah bajet rakyat, maklum balas melibatkan semua rakyat sama ada libat urus atau cadangan online kepada MOF," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri disiarkan di 501 AWANI pada Sabtu.
#PM #ismail sabri yaakob #Inspirasi Setahun #Keluarga Malaysia #Belanjawan 2023 #Bajet 2023
;