Bajet 2023: Promosi pelancongan negara perlu libatkan pelbagai pihak
Bernama
Oktober 9, 2022 13:03 MYT
Oktober 9, 2022 13:03 MYT
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM200 juta menerusi Bajet 2023 bagi tujuan galakan, promosi dan pemasaran, serta memperkukuh pemulihan sektor pelancongan perlu dimanfaatkan pemain industri secara kreatif untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia, seterusnya melakukan kunjungan ulangan.
Bagi tujuan itu, pensyarah kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa berkata agensi bertanggungjawab mestilah melibatkan pelbagai pihak untuk merangka aktiviti promosi dan pemasaran yang mantap.
"Libat urus ini bukan sahaja hanya melibatkan satu atau dua agensi semata-mata, tetapi perlu lebih menyeluruh membabitkan ramai pihak pelbagai latar belakang, khususnya ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan.
"Selain itu, promosi dan pemasaran pelancongan bagi Malaysia juga perlu lebih ditumpukan kepada negara-negara yang bukan penyumbang utama kepada pasaran pelancong utama ke negara ini seperti Amerika Syarikat dan Kanada, dengan cara ini kita turut dapat menambah jumlah pelancong luar negara selain dari negara yang biasa mengunjungi negara kita seperti Indonesia dan Jepun," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sasaran ketibaan pelancong asing melebihi 15 juta dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion yang ditetapkan kerajaan bagi 2023, difahamkan melibatkan sebahagian besar pelancong dari negara yang biasa mengunjungi Malaysia seperti Indonesia.
Dalam pada itu, Siti Suriawati memuji insentif yang disediakan kerajaan dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100, yang dilihat dapat menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat, mengumumkan peruntukan RM1.16 bilion bagi mengurus dan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya merangkumi RM200 juta untuk pemulihan sektor pelancongan bagi galakan, promosi dan pemasaran serta RM90 juta untuk Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN), yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata pemberian insentif, dana dan geran akan membantu memulihkan semula industri itu khususnya pelancongan domestik, sekali gus meningkatkan ekonomi negara secara berperingkat.
Beliau berkata pengecualian cukai 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asing setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan, menggalakkan syarikat pelancongan untuk memberi fokus pada sektor domestik.
"Menerusi tawaran pengecualian cukai kepada pengendali pelancongan kita melihat ia banyak memberi kelebihan pada mereka. Mereka bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi pada masa sama dapat menikmati pelepasan cukai berkenaan berdasarkan syarat ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MATTA Fair Melaka, semalam.
Selain itu, Tan berkata pemberian insentif sehingga RM100 dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi menggalakkan Keluarga Malaysia melancong dalam negara, memberi kesan positif kepada sektor pelancongan domestik dengan mengurangkan beban perbelanjaan, terutama bagi mereka yang berkeluarga besar atau melancong dalam kumpulan.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis pula berkata inisiatif kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian hingga RM500,000 menguntungkan pengusaha kraf tangan tempatan secara tidak langsung.
"Sudah tiba masanya pihak industri perhotelan kita untuk mengetengahkan produk kraf tangan tempatan khususnya dari segi hiasan dalaman hotel itu sendiri. Sebagai contoh, kita ada banyak produk berasaskan kain batik dan ia boleh digunakan sebagai alas meja, hiasan di dinding dan sebagainya.
"Lebih menarik jika pihak hotel dapat mewujudkan gerai khas menjual produk-produk kraf tangan tempatan, ini juga salah satu cara untuk kita sama-sama membantu mempromosikan produk orang kita. Oleh itu, pihak hotel perlu merebut potongan khas cukai yang ditawarkan kerajaan ini," katanya.
-- BERNAMA