Bajet 2023: Peruntukan pembangunan RM6.3 bilion untuk Sabah, RM5.4 bilion Sarawak
Astro Awani
Oktober 7, 2022 20:11 MYT
Oktober 7, 2022 20:11 MYT
KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak terus menerima manfaat besar dalam perbelanjaan peruntukan pembangunan negara.
Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, RM11.7 bilion diperuntukan untuk dua negeri itu berbanding RM9.8 bilion dalam Bajet 2022.
"Masing-masing sebanyak RM6.3 bilion (Sabah) dan RM5.4 bilion (Sarawak).
"Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan infrastruktur air, elektrik, jalan raya kesihatan dan kemudahan pendidikan," jelas Tengku Zafrul.
Bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, Bajet 2023 yang bernilai RM372.2 bilion itu juga memperkenalkan beberapa inisiatif khusus dan menambah baik program sedia ada.
Antaranya menaik taraf bangunan dan infrastruktur sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Sejumlah 1.2 bilion ringgit pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak
dengan melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak," ujarnya.
Tidak ketinggalan program baik pulih klinik dan hospital daif dengan peruntukan RM420 juta termasuk penggantian alatan usang dengan keutamaan kepada fasiliti kesihatan di pedalaman dua negeri itu.
Sementara itu kebergantungan penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak kepada perkhidmatan udara sebagai mod pengangkutan utama dipermudahkan menerusi subsidi RM209 juta.
"Kerajaan komited untuk terus mensubsidi perkhidmatan pengangkutan udara dengan peruntukan 209 juta ringgit untuk manfaat penduduk luar bandar.
"Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak, dengan membina wheelchair ramp untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASWings," tambahnya lagi.
Selain itu, strategi pembangunan infrastruktur negara menerusi fokus projek pembangunan utama turut menyediakan RM16.5 bilion bagi sektor pengangkutan termasuk Lebuh Raya Pan Borneo.