Bajet 2023: Pemulihan kewangan sektor pelancongan jadi keutamaan

Hafizi Rosli
Oktober 7, 2022 11:28 MYT
Sektor pelancongan semakin mencatatkan pemulihan selepas pembukaan pintu sempadan negara 1 April lalu. - Gambar hiasan BERNAMA
Sektor pelancongan mahu kerajaan memberi kemudahan pinjaman yang khusus serta membantu memulihkan kewangan perniagaan menerusi Bajet 2023.
Susulan kelumpuhan sektor sejak dua tahun lalu, ada pemain industri kini terbeban dengan hutang yang tinggi dan sukar untuk pulih bagi meneruskan perniagaan.
Jelas Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr Fathir Badri cadangan kerajaan mewujudkan bank khusus untuk industri pelancongan adalah tepat untuk direalisasikan.
"Dua tahun kami tiada perniagaan dan kewangan kami sangat mencabar. Kini untuk memenuhi kriteria pinjaman bank sangatlah sukar malah ditolak begitu sahaja.
"Jadi cadangan untuk mewujudkan bank pelancongan seperti bank berasaskan pertanian adalah satu langkah yang tepat dan perlu disegerakan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Selain daripada pemulihan kewangan pemain industri, fokus sektor pelancongan perlu diperkukuh untuk memastikan industri ini terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tertinggi negara.
Bagi Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis, agenda utama adalah untuk memberi pengalaman yang baik untuk pelancong.
"Kedua adalah untuk menguruskan impak pelancongan dan ketiga adalah untuk kita mempergiatkan lagi ekonomi pelancongan.
"Agenda ini penting dalam memastikan sektor ini boleh pulih sepenuhnya," jelasnya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi.
Jelas Uzaidi, pada ketika ini kemasukan pelancong menampakkan peningkatan mendadak dengan 2.1 juta pelancong dalam tempoh enam bulan susulan pembukaan semula sempadan April lalu.
Ini menunjukkan industri ini semakin mengukuh dan menyaksikan proses pemulihan berjalan dengan lancar.
AWANI Pagi: Bajet 2023 | Aspirasi pemain industri pelancongan
#Bajet 2023 #Malaysia Bangkit #pelancongan #SAFTTA
;