Bajet 2023: KPKT harap pengecualian duti setem 100% bagi pembelian rumah RM500,000-RM1 juta

Astro Awani
September 23, 2022 16:03 MYT
Reezal mengulas perkara itu selepas merasmikan Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap Kerajaan mempertimbangkan permohonan pengecualian duti setem 100 peratus bagi pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 sehingga RM 1juta pada pembentangan Bajet 2023 ini.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata menerusi inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI) pengecualian duti setem 100 peratus adalah untuk pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 ke bawah.
Manakala bagi rumah berharga RM500,000 sehingga RM1 juta pengecualian duti setem adalah sebanyak 50 peratus.
Justeru, beliau berharap pertambahan lagi 50 peratus diberikan bagi memastikan golongan M40 dapat merasai manfaat sama untuk pembelian rumah pertama mereka.
"Inisiatif duti setem kepada perumahan RM500,000 ke bawah dikecualikan 100 peratus, ia kerana salah satu perkara yang perlu semasa mahu membeli rumah adalah dikenakan duti setem. Sebab itu saya katakan kepada pemaju, ia juga sebagai salah satu strategi pemasaran mereka, namun perlulah dengan syarat pemberian 10 peratus diskaun kepada pembeli.
“Demikian juga dengan perumahan RM500,000 ke RM1 juta. Ramai yang bertanya kenapa rumah RM500,000 ke RM1 juta pun kita hendak beri duti setem juga?
"Kita mengharapkan kerajaan akan pertimbang untuk memberi lagi 50 peratus sebab kelompok yang beli rumah harga RM500,000 ke RM1 juta ini adalah kelompok M40.
“Saya tidak mahu dilihat hanya memperjuang keperluan kelompok B40... golongan M40 pun perlu juga. Sebagai contoh, suami isteri (bekerja sebagai) cikgu, mereka gabungkan gaji, maka mencecah RM10,000 ke RM15,000. Dari segi keupayaan memiliki hartanah, tentunya mereka akan membeli hartanah yang kos RM500,000 ke atas," ujar Reezal.
Dalam masa sama, Reezal Merican juga berharap kerajaan akan meneruskan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang menyediakan jaminan pembiayaan berjumlah RM2 bilion di bawah Bajet 2022.
Katanya, dengan adanya SJKP, ia akan membantu golongan yang berkemampuan namun tidak mempunyai penyata gaji atau pendapatan tidak tetap untuk mendapat akses pembiayaan perumahan daripada institusi kewangan terpilih.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.
Lebih 15,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival sempena siri Jelajah Home Ownership Programme (HOPE).
Lebih 92,000 unit rumah yang belum terjual di seluruh Wilayah Utara ditawarkan pada program yang berlangsung selama tiga hari itu.
Karnival Jom Beli Rumah Wilayah Utara menyediakan sebanyak 45 reruai (pempamer) dengan penyertaan 23 pemaju perumahan seperti Bertam Properties Sdn Bhd, SP Setia Bhd, OIB Group, Aspen Group, Oriental Kedah Realty dan EcoWorld Property.
#pengecualian duti setem #pembelian rumah #KPKT #Bajet 2023
;