Bajet 2023: KKM mohon peruntukan tambahan untuk kesihatan mental

Ridauddin Daud
September 28, 2022 15:21 MYT
Khairy memaklumkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang dimulakan pada Mac 2020 menerima sejumlah 307,673 panggilan dengan 227,713 (74.3 peratus) panggilan memerlukan sokongan emosi dan kaunseling. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memohon peningkatan peruntukan sebanyak 2.5 peratus dalam Bajet 2023 untuk memperkasakan perkhidmatan sokongan mental dan psikososial di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun bajet untuk kesihatan mental meningkat sebanyak 11 peratus dari tahun 2021 ke 2022 namun tambahan peruntukan itu masih perlu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan diberikan.
“Sudah tentu dari masa ke masa kita cuba meningkatkan lagi perkhidmatan terutama dalam kesihatan mental.
BACA: Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental - Noor Azmi
“Sebagai contoh bajet untuk perkhidmatan kesihatan mental iaitu program perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial dari tahun 2021 ke 2022 di mana peningkatan sebanyak 11 peratus.
“Kita telah mohon peningkatan 2.5 peratus lagi untuk bajet tahun depan. Semua ini termasuk termasuk pembayaran gaji kepada pakar dan kakitangan kesihatan mental dan kita akan berterusan meminta peningkatan dalam bajet kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Agihan Dana Program Kesihatan Mental Kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kementeriannya, di sini, pada Rabu.
Kertas Putih | Kaji langkah strategik demi sistem berdaya tahan
Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy memaklumkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang dimulakan pada Mac 2020 menerima sejumlah 307,673 panggilan dengan 227,713 (74.3 peratus) panggilan memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
Ia disebabkan stres yang kronik, kemurungan dan keresahan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan antara faktor penyebab adalah hilang punca pendapatan, krisis kewangan, masalah hubungan, kematian orang tersayang, konflik keluarga dan penderaan.
Tambahnya, trend kes bunuh diri seperti yang dilaporkan oleh data PDRM menunjukkan peningkatan sebanyak 81 peratus (1142 kes) pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada tahun 2020.
Kesihatan Mental | Kesan media sosial
“Ia juga merupakan statistik yang membimbangkan serta memerlukan perhatian dan tindakan segera,” ujarnya.
Sementara itu, Khairy turut mengumumkan dana berjumlah RM6.2 juta yang akan diagihkan kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu bagi mengukuhkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi aktiviti yang dilakukan.
#Khairy Jamaluddin #Bajet 2023
;