Bajet 2023: Dana RM50 juta dekan bantu hasil filem kenegaraan berkualiti - Finas

Bernama
Oktober 8, 2022 08:46 MYT
Melalui bantuan tersebut ia dapat menampung penerbit yang masih kekurangan modal supaya dapat menghasilkan filem kenegaraan yang berkualiti dan setanding dengan filem antarabangsa. - Gambr hiasan
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM50 juta sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) mampu melonjakkan pemain industri untuk menghasilkan lebih banyak filem kenegaraan sehingga dapat dipasarkan ke peringkat tertinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata selepas melihat kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dengan kutipan tiket tertinggi dalam sejarah negara, lebih ramai penerbit menyatakan minat untuk menghasilkan filem kenegaraan atau epik.
Beliau berkata melalui bantuan tersebut ia dapat menampung penerbit yang masih kekurangan modal supaya dapat menghasilkan filem kenegaraan yang berkualiti dan setanding dengan filem antarabangsa.
"Kita maklum untuk menghasilkan sesuatu filem kenegaraan ia memerlukan perbelanjaan besar...kecuali penerbit itu mempunyai dana yang besar ataupun ada pelabur dari luar yang berminat untuk bekerjasama.
"Sebelum ini dana filem di bawah Dana Kandungan Digital (DKD), namun kali ini ia dikhususkan sebagai percubaan supaya dapat membantu lima hingga enam produksi dengan setiap daripadanya menerima bantuan antara enam hingga tujuh juta ringgit bagi setiap filem hendak dihasilkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
BACA: Teks penuh ucapan Bajet 2023
SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!
Md Nasir berkata pemohon dana DEKAN akan diutamakan kepada mereka yang mempunyai rekod prestasi yang baik seperti pernah menghasilkan filem bertaraf antarabangsa dan pernah bekerjasama dengan pihak luar negara.
Selain itu, beliau berkata dana DEKAN juga bertujuan untuk membolehkan pihaknya membuat produksi bersama dengan negara luar misalnya seperti Indonesia, Thailand, Australia dan China supaya dapat memperluaskan pertukaran, kepakaran dan latihan dalam membangunkan industri perfileman.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai DEKAN bagi memacu industri kreatif tempatan.
Selain itu, kerajaan katanya juga menyediakan DKD berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas animasi digital kanak-kanak, Durioo, Sinan Ismail berkata dana DKD yang disediakan itu menunjukkan kesinambungan kerajaan untuk terus mengetengahkan bakat baharu serta potensi berkaitan kandungan animasi kreatif dan digital tempatan.
"Selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan, ia dapat membantu syarikat tempatan yang baharu untuk mengeksport kandungan berkualiti ke luar negara sekali gus dapat menjana pulangan pendapatan," katanya.
-- BERNAMA
#Bajet 2023 #Dana Penerbitan Filem Kenegaraan #Dekan #FINAS