Bajet 2023: Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwajibkan tahun depan
Bernama
Oktober 7, 2022 17:29 MYT
Oktober 7, 2022 17:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mula mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua sektor pekerjaan sendiri secara berperingkat tahun depan, terutama sektor berisiko tinggi.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif itu akan bermula dengan sektor pengangkutan awam dan penghantar barangan atau makanan.
Beliau berkata bagi mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri membayar caruman itu, kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman berkenaan.
"Ini bermakna orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penggiat seni FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan penjaja hanya membayar 20 peratus sahaja.
"Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan RM150 juta dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata had caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM100,000 setahun.
"Bagi mengalakkan lagi caruman sukarela, kerajaan akan meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000," katanya.
Beliau turut mengumumkan program i-Saraan dilanjutkan tahun hadapan serta ditambah baik dengan meningkatkan caruman padanan daripada RM250 kepada RM300 dan dijangka memanfaatkan lebih 100,000 pencarum.
Tengku Zafrul berkata kerajaan juga berhasrat melanjutkan program Kasih Suri Keluarga Malaysia tahun depan dan memperkasa program itu melalui perlindungan tambahan di bawah Skim PERKESO.
"Suri rumah yang membuat caruman KWSP minimum RM60 setahun akan mendapat insentif padanan tambahan kerajaan bernilai sehingga RM600 setahun merangkumi RM480 simpanan KWSP serta RM120 caruman Skim PERKESO," katanya.
Bagi meningkatkan pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera, jumlah had pegangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB2 dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000.
Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk membantu B40 Bumiputera melabur dalam ASB dengan tawaran pinjaman pada kadar 1.5 peratus melibatkan dana RM100 juta, katanya.
-- BERNAMA
#Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri
#SKSPS
#perkeso
#Pertubuhan Keselamatan Sosial
#Bajet 2023
#Menteri Kewangan
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#sektor berisiko tinggi