Bajet 2023 bukan sia-sia atau sekadar manifesto - Khairy

Umavathi Ramayah
Oktober 11, 2022 19:36 MYT
Khairy Jamaluddin menjelaskan, pembentangan Bajet 2023 adalah komitmen Perdana Menter yang akan dibawa ke Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat tiga hari sebelum pembubaran Parlimen bukan perkara yang sia-sia atau sekadar manifesto.
Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, ia adalah komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibawa ke Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk dibahaskan.
"Saya tidak anggap pembentangan bajet itu sia-sia sebab bajet itu akan dibawa ke Dewan Rakyat selepas PRU nanti sekiranya mandat diberikan semula kepada perdana menteri.
"Semua yang ada dalam pembentangan itu adalah perbelanjaan yang sudah diperuntukkan, ia bukan manifesto yang berdasarkan janji-janji yang tidak diperuntukkan, itu beza antara bajet dan manifesto," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management di sini, pada Selasa.
Terdahulu, pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat lalu hanya sia-sia apabila Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandinginya, Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau berkata, beliau memberi kepercayaan kepada pucuk kepimpinan untuk memutuskan.
"Itu adalah sesuatu yang akan diputuskan oleh kepimpinan. Saya dah cakap banyak kali bahawa saya akan akur dengan keputusan parti sama ada saya bertanding atau tidak, dan jika saya bertanding, bertanding di mana.
"Kita mesti memberi kepercayaan kepada pucuk kepimpinan, kalau tidak, banyak sangat kekeliruan dan kecelaruan," tambahnya.
#Bajet 2023 #Khairy Jamaluddin #Dewan Rakyat #ismail sabri yaakob
;