Bajet 2023 beri penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia - PM
Madiha Abdullah
Ogos 15, 2022 17:46 MYT
Ogos 15, 2022 17:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2023 pada bulan Oktober ini akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia dan juga kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.
"Meskipun kita berdepan dengan kenaikan inflasi dunia, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan telah meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada bulan Mei 2022 dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak tahun 2013.
"Selain itu, jumlah dagangan Malaysia juga melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada tahun 2021, meningkat 24.9 peratus, berbanding tahun sebelumnya hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula," katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) bersama Perdana Menteri di ibu negara, pada Isnin.
Tambahnya, kadar pengangguran negara kini juga kembali menurun ke paras seperti sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3.8 peratus, manakala jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak COVID-19.
"Malah, pada suku pertama 2022 sahaja, nilai ini adalah hampir separuh bagi keseluruhan tahun 2021, iaitu melebihi RM24 bilion," jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan kata perdana menteri, sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita termasuk anggota Pertama yang telah banyak berjasa dalam arus pembangunan negara.
Justeru, sokongan padu semua pihak termasuk Pertama amat diharapkan bagi menyokong inisiatif dan komitmen kerajaan.
"Pada hari ini, saya ingin mengumumkan RM300,000 peruntukan kepada Pertama.
"Memandangkan Pertama kini menginjak satu usia yang dianggap matang dan berjaya melahirkan banyak nama besar, saya berharap persatuan ini dapat membantu kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara," katanya lagi.