Bajet 2023: Banyak berita baik untuk rakyat - PM Anwar
Abd Razak Mohd Ali
Januari 29, 2023 20:30 MYT
Januari 29, 2023 20:30 MYT
IPOH: Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada 24 Februari hadapan akan mengandungi banyak berita baik untuk rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, belanjawan itu juga akan mengandungi berita tidak baik bagi mereka yang sudah biasa dengan budaya merompak.
"Tumpuannya di bidang digital, sekuriti makanan, industri kecil dan sederhana (IKS). Ia berbeda daripada tumpuan projek-projek bagi konglomerat besar… kita ubah keutamaan.
"Tetapi semua ini ditunjangi dari sudut tatakelola kerana buatlah dasar apa pun, tukarlah PM, Menteri Kewangan, selagi tak hentikan komisen dan rompakan besar, negara kita tak mampu akan maju. Saya hendak tekankan soal integriti, perkhidmatan awam dan juga dasar," kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, Ipoh, pada Ahad.
Beliau ditanya tentang kemungkinan berita gembira untuk rakyat dalam Bajet 2023, termasuk kemungkinan memperkenalkan subsidi bersasar.
Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.
Pada 20 Disember tahun lalu, kerajaan telah membentang Mini Bajet 2023 bagi meluluskan pembayaran gaji penjawat awam serta beberapa isu berbangkit.